Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi MARA di Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor menjalankan siasatan berhubung dakwaan penjualan penempatan bilik di Kolej Kediaman Casuarina, Kampus Puncak Alam yang tular di media sosial baru-baru ini.

UiTM cawangan itu berkata, pihak pengurusan kampus memandang serius dakwaan berkenaan dan sedang mendapatkan maklumat bagi memastikan kesahihannya.

“Sebarang tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan serta peraturan universiti yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, UiTM mengingatkan semua pelajar supaya tidak terlibat dalam sebarang urusan jual beli, penjualan, pemindahan atau pertukaran penempatan kolej kediaman dengan mana-mana pihak.

Jelasnya, segala urusan berkaitan penempatan hendaklah dibuat melalui saluran dan prosedur rasmi yang ditetapkan universiti.

Pelajar turut dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran penempatan yang tidak sah atau mencurigakan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.

“Mana-mana pelajar yang didapati terlibat dalam urusan yang melanggar peraturan universiti boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Katanya lagi, pihak pengurusan kampus menghargai kerjasama seluruh warga pelajar dalam memastikan keselamatan, kebajikan dan integriti komuniti kolej kediaman sentiasa terpelihara.

“Sebarang maklumat berkaitan isu itu boleh disalurkan melalui saluran rasmi UiTM Cawangan Selangor untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, dakwaan tersebut tersebar di platform Threads mengatakan bahawa berlaku penjualan penempatan bilik di Kolej Kediaman Casuarina, Kampus Puncak Alam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here