KUALA LUMPUR – Ungkapan “cukup-cukuplah guru” yang disampaikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya dilihat sebagai mesej politik yang cukup jelas terhadap hubungan UMNO dengan kepemimpinan kerajaan MADANI.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, ungkapan itu boleh ditafsirkan sebagai isyarat bahawa Presiden UMNO itu kini lebih berani menyuarakan pendirian parti.
Katanya, sebelum ini Ahmad Zahid sering diibaratkan sebagai “anak murid”, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “guru”.
“Kali ini mula menunjukkan keberanian untuk mencabar apa yang dikatakan sebagai guru.
“‘Cukup-cukuplah guru’ itu satu mesej langsung kepada PMX, khususnya yang dikatakan sebagai guru beliau sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan UMNO mahu memastikan kepentingan parti serta agenda Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja terus dipertahankan.
“Mesej itu juga perlu dilihat dalam konteks hubungan UMNO dengan parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan.
“Namun, pendekatan UMNO tidak bermaksud parti itu mahu meminggirkan kaum lain,” katanya lagi.
Selain itu, beliau selaku Setiausaha Pemuda UMNO Selangor melihat kelantangan Ahmad Zahid itu susulan tindakan DAP yang semakin kerap melanggar “garis merah” membabitkan kepentingan Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu.
“Mesej Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya dilihat mempunyai kaitan rapat dengan pendirian parti terhadap DAP,” katanya.
Menurutnya, DAP dilihat lebih radikal berbanding parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC dalam beberapa perkara.
“DAP ini dilihat lebih radikal. Presiden acapkali menyebut mengenai garis merah yang tidak sepatutnya dilanggar.
“Ia bukan sahaja mengenai kepentingan orang Melayu tetapi juga melibatkan kepentingan institusi Raja-Raja.
“UMNO bagaimanapun tidak mahu pendekatan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam diterjemahkan sebagai usaha meminggirkan kaum lain,” katanya.
Sebaliknya, katanya, UMNO mahu Melayu terus menjadi teras kepimpinan negara dalam keadaan hak dan kepentingan masyarakat Cina, India serta kaum lain tetap dihormati.
“Kita tidak mahu terlalu ekstrem. UMNO ini sentris.
“UMNO sentiasa memandang bangsa-bangsa lain dalam memastikan keharmonian terjaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















