G Sivamalar

KUALA LUMPUR –  Beban kewangan susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih ditanggung negara apabila Kerajaan Persekutuan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen berkaitan 1MDB setakat 31 Mei 2026.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy berkata, angka yang didedahkan menerusi jawapan rasmi Kementerian Kewangan di Parlimen pada 9 Julai lalu menunjukkan kesan kewangan 1MDB masih menjadi tanggungjawab kerajaan.

Kerajaan masih perlu menanggung RM5 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah Sukuk IMTN sehingga matang pada 2039.

Ia menjadikan keseluruhan tanggungan berkaitan 1MDB sekitar RM51.4 bilion.

Sivamalar berkata, isu berkenaan tidak wajar dianggap sebagai perkara yang hanya berlaku pada masa lalu apabila negara masih menanggung komitmen kewangan susulan skandal berkenaan.

“Komitmen kewangan ini masih ditanggung negara dan akan terus ditanggung sehingga 2039,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah RM51.4 bilion itu merupakan sumber kewangan awam yang besar dan boleh disalurkan kepada keperluan rakyat termasuk sekolah, hospital, pengangkutan awam, perumahan serta membantu keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Sivamalar menegaskan, komitmen kewangan yang masih berjalan itu menjadi sebab isu 1MDB kekal relevan kepada rakyat.

“Kita belum lupa kerana komitmen kewangannya masih ditanggung negara. Kita belum lupa kerana kesannya masih dirasai melalui penggunaan sumber kewangan awam,” katanya.

Beliau berkata, membangkitkan isu berkenaan bukan soal dendam politik, sebaliknya berkaitan amanah, akauntabiliti dan tanggungjawab dalam pengurusan wang negara.

Sivamalar turut mengingatkan pihak yang diberikan kuasa perlu memastikan wang negara diurus dengan penuh amanah kerana sumber kewangan awam adalah milik rakyat.

Katanya, sebarang penyalahgunaan amanah boleh membawa kesan yang akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat.

“Rakyat tidak sepatutnya menjadi pihak yang menanggung akibat daripada kegagalan mengurus amanah dan kewangan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here