TANGKAK – Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada pekebun kecil kelapa sawit bukan hanya memikirkan tentang hasil atau keuntungan semata-mata sebaliknya merangkumi pelbagai aspek.
Pegawai Penyelaras Tunas Zon Selatan 2, Hasmiza Desa berkata, tujuan pensijilan MSPO merangkumi pengurusan kebun yang baik, teratur dan betul di samping aspek keselamatan pekebun semasa menjalankan aktiviti di kebun.
Beliau berkata, penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar meliputi persekitaran kebun sawit yang diusahakan juga penting di mana bekas tong racun atau kampit baja tidak boleh dibuang merata-rata di dalam kebun.
”Melalui program taklimat dan kursus yang dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dapat memberi peluang kepada pekebun kecil sawit menimba ilmu.
”Pekebun kecil sawit sama ada yang baru bermula, telah lama mengusahakan kebun atau penanaman semula digalakkan menambah baik amalan dan menimba ilmu pengurusan kebun yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Taklimat Pensijilan MSPO dan Amalan Pertanian Baik (GAP) SPOC J40 Mukim Grisek anjuran MPOB Cawangan Tangkak di Dewan Terbuka Kebun Jambu Atuk Janis dekat Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini.
Hasmiza berkata, menerusi program itu, pekebun kecil sawit mendapat khidmat bantuan daripada pasukan MPOB Cawangan Tangkak yang hadir di lapangan membantu proses pensijilan MSPO serta urusan pelesenan pekebun kecil.

Katanya, setiap kebun yang mempunyai tanaman sawit wajib didaftarkan lesen MPOB masing-masing untuk membuat penjualan komoditi itu bukan hanya mendaftar sebahagian geran sahaja.
”Permohonan lesen MPOB bagi pekebun kecil sawit adalah percuma. Saya mengingatkan kepada pekebun kecil agar tidak terpedaya dengan pihak luar atau ejen yang meminta bayaran bagi tujuan itu.
”Bagi melayakkan pekebun memohon sebarang bentuk bantuan kerajaan seperti Budi Agri-Komoditi, syarat utama perlu memiliki lesen MPOB yang sah,” tegasnya.
Katanya, pekebun kecil boleh datang ke pejabat MPOB berhampiran pada waktu pejabat bagi mendapatkan khidmat nasihat atau membuat permohonan lesen.
Pada program itu, seramai 60 pekebun kecil hadir mendengar taklimat pensijilan MSPO, pembajaan sawit, pemangkasan pelepah dan pertunjukan kaedah serta teknik pembajaan dan pemangkasan.
Pihak MPOB juga membuka kaunter pelesenan bagi memudahkan pekebun kecil memohon lesen manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Muar memberikan penerangan mengenai caruman dengan pertubuhan itu.- MalaysiaGazette















