KUANTAN – Dua individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Gmbang- Maran berhampiran simpang Kampung Paya Rambutan hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
“Kedua-dua mangsa iaitu pemandu seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan penumpang kereta, seorang lelaki berusia 40 tahun didapati tersepit dalam kenderaan.
‘Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas yang tiba di lokasi berjaya mengeluarkan mangsa, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mohd Salahuddin berkata, pemandu pacuan empat roda berjaya keluar daripada kenderaan itu dan dibawa ke hospital oleh orang awam. – MalaysiaGazette















