Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berbaju ungu bergari dikawal ketat pegawai PDRM dan SPRM selepas Mahkamah Sesyen membenarkan ikat jamin sebanyak RM450,000 atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama ketika Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak didakwa mengambil, menggelapkan atau menyalahgunakan RM193.5 juta dana Lembaga Tabung Haji (TH) untuk kegunaan dirinya atau ahli keluarganya, kata peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad.

Menurut beliau, pertuduhan yang dibacakan terhadap bekas Pengerusi TH itu di Mahkamah Sesyen pada 8 September lalu berkaitan dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad.

Katanya, jawatan tersebut didakwa membawa manfaat berupa remunerasi tahunan, sebuah kenderaan serta seorang pemandu tetap.

“Di dalam pertuduhan tersebut tidak ada sebarang kaitan dengan sebarang penyelewengan atau penyalahgunaan dana TH bagi manfaat diri anakguam kami atau ahli keluarganya.

“Jumlah RM193.5 juta yang disebut dalam pertuduhan adalah nilai pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana Berhad.

”Itu bukannya jumlah wang yang didakwa telah diberikan kepada, diambil oleh atau dimasukkan ke dalam akaun peribadi anakguam kami atau ahli-ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Barisan peguam yang mewakili bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi mendengar pertuduhan atas kesalahan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama ketika Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 SEPTEMBER 2026.

Abdul Azeez telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan menegaskan ia tidak benar, selain memilih untuk membela diri melalui perbicaraan penuh di mahkamah.

Amer Hamzah turut menjelaskan mengenai dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung jumlah simpanan dalam akaun TH milik isteri dan anak-anak Abdul Azeez.

Beliau berkata, simpanan dalam akaun berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

Menurutnya, kewujudan simpanan dalam akaun TH juga tidak bermaksud wang tersebut berasal daripada dana milik TH.

“Akaun-akaun dan wang simpanan di dalam akaun-akaun tersebut juga telah menjadi subjek siasatan pihak berkuasa sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, wang simpanan dalam akaun-akaun tersebut tidak pernah dilucuthakkan oleh kerajaan, dan tidak terdapat apa-apa dapatan wang tersebut merupakan wang TH yang telah diselewengkan oleh anakguam kami atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Beliau turut merujuk Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH yang telah didedahkan sebelum ini.

Katanya, laporan berkenaan tidak membuat sebarang dapatan bahawa Abdul Azeez telah menyeleweng atau mengambil wang TH untuk dirinya atau ahli keluarganya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang gambaran atau insinuasi bahawa simpanan dalam akaun TH milik ahli keluarga Abdul Azeez merupakan wang yang ‘diambil’ daripada TH adalah tidak tepat.

Begitu juga, kata beliau, dakwaan RM193.5 juta tersebut telah disalurkan kepada Abdul Azeez atau keluarganya tidak mencerminkan kandungan sebenar pertuduhan mahupun hasil siasatan terdahulu.

“Anakguam kami bertekad untuk membela diri di mahkamah dan membersihkan nama beliau dan keluarganya,” tegasnya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya melaporkan perkara itu berdasarkan fakta serta kandungan sebenar pertuduhan dan menghormati prinsip anggapan tidak bersalah sehingga kes diputuskan oleh mahkamah.

Jelas beliau, Abdul Azeez dan ahli keluarganya juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan palsu, mengelirukan atau memfitnah berhubung perkara tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here