KUALA LUMPUR – Tiada sebarang keperluan untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dalam kadar segera, sebaliknya fokus utama kerajaan ketika ini perlu ditumpukan kepada usaha pembersihan salah laku dan urus tadbir terdahulu.
Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU16 disegerakan dilihat seolah-olah ‘takut pada bayang-bayang sendiri’.
Menurutnya, beberapa skandal membabitkan pelbagai institusi kerajaan yang kini sedang dibawa ke muka pengadilan seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dan Felda.
“Adakah Zahid khuatir lebih ramai pemimpin UMNO akan terpalit dengan pelbagai salah laku rasuah dan penyelewengan urus tadbir terdahulu sehingga terpaksa mencari helah kononnya rakyat yang mahukan PRU16 disegerakan?
“Jangan heret rakyat dalam usaha menyelamatkan imej UMNO yang kini sudah tercalas,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, rakyat mahu melihat komitmen kerajaan memerangi rasuah, mengambil tindakan tegas terhadap salah urus tadbir serta memulihkan semula kepincangan tatakelola.
UMNO sebagai salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya menyokong penuh usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan institusi kerajaan dan bukannya mencari helah menyembunyikan salah laku, tambahnya.
“Saya mengajak UMNO untuk kembali menghormati perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan dan bersama-sama mempertahankan kerajaan ini sehingga ke hujung penggal.
“Fokus kita adalah untuk mengekalkan imej bersih, anti-rasuah serta memastikan tatakelola yang baik dapat dilaksanakan demi negara,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid menerusi ucapan dasar pada PAU2026 berkata, PRU16 perlu disegerakan kerana rakyat dikatakan semakin merindui kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Presiden UMNO itu berkata, perkembangan politik di Negeri Sembilan dan Johor memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap BN masih mempunyai ruang untuk kembali mengukuh.
Lantaran itu, menurutnya sudah tiba masanya PRU16 perlu segera diadakan. – MalaysiaGazette

















Datuk zahid tak bangang cam pmx ko yang sibuk heret rakyat jadi beruk tengah jalan. umno tak pernah ajar penyokong jadi mcm beruk.