Anwar Ibrahim dan Vladimir Putin bertemu di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-18 di New Delhi.

KUALA LUMPUR – Hubungan diplomasi serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia terus diperkukuh menerusi pertemuan peringkat tertinggi di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-18.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pertemuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk memperluas jalinan kerjasama dalam pelbagai sektor strategik yang memberi manfaat bersama kepada rakyat dan negara.

“Perbincangan ini membuka ruang untuk meneroka potensi baharu dalam hubungan ekonomi, perdagangan serta pelaburan.

“Ia selaras dengan usaha berterusan Malaysia untuk memperluas jaringan ekonomi dan diplomatik di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramanan bersama Anwar ketika menghadiri persaidangan BRICS di New Delhi, India.

Ramanan berkata demikian ketika mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dua hala bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di India

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia kekal mengamalkan pendekatan diplomasi yang terbuka, pragmatik dan berprinsip.

“Pendirian itu membolehkan Malaysia membina hubungan baik dengan pelbagai negara, sekali gus memastikan setiap kerjasama strategik yang dimeterai dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan pelaburan berkualiti,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ramanan berkata, Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara berdaulat dan dihormati di pentas antarabangsa.

Katanya lagi, Malaysia sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berlandaskan kepentingan nasional, keamanan serta kemakmuran bersama.

Terdahulu, Anwar tiba di New Delhi malam tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Sidang kemuncak itu yang akan dihoskan oleh Modi, membawa tema ‘Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan’ dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di New Delhi adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Januari 2025.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here