Kejadian tanah runtuh Kilometer (KM) 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan yang berlaku akibat hujan lebat petang ini. – Foto Polis

IPOH – Laluan kiri arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan di KM263.6 akan ditutup sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak bersama pihak PLUS dan agensi berkaitan terus menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

Menurutnya dalam satu kenyataan media, penutupan itu akan dilaksanakan dengan pemasangan kon keselamatan bermula dari KM262.8 hingga KM263.8 arah selatan, membabitkan jarak kira-kira satu kilometer.

“Buat masa ini, aliran trafik bertentangan (contraflow) belum diaktifkan dan pergerakan trafik masih dipantau dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 2 kilometer selepas Terowong Menora ketika kawasan berkenaan dilanda hujan lebat pada jam 4.30 petang.

Tanah runtuh berkenaan melibatkan lorong kiri lebuh raya dan susulan kejadian, lorong tersebut ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Kejadian itu mengakibatkan aliran trafik kemudiannya dialihkan ke lorong kanan bagi memastikan pergerakan kenderaan masih dapat diteruskan.

Dalam itu, katanya, kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Vista Point akan difokuskan ke lokasi kejadian bagi membolehkan pemantauan berterusan terhadap keadaan kawasan tanah runtuh serta pergerakan trafik di laluan berkenaan.

Beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta papan tanda keselamatan ketika melalui kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here