MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah mengambil tindakan menangkap enam ekor anjing liar di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong Dua sejak aduan pertama diterima pada Mei lalu.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, tindakan memasang perangkap dilakukan bermula 18 Mei hingga 30 Mei lalu selepas pemeriksaan awal pada 14 Mei mendapati tiada anjing berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan.
Menurutnya, sepanjang tempoh perangkap dipasang, enam ekor anjing berjaya ditangkap, namun usaha berkenaan berdepan kesukaran apabila terdapat orang awam yang didakwa melepaskan semula anjing daripada perangkap.

“Semakan aduan pada 14 Mei mendapati tiada anjing berkeliaran di sekitar kawasan terbabit.
“Susulan itu, pada 18 Mei kita pasang perangkap dan sehingga 30 Mei, sebanyak enam ekor anjing berjaya ditangkap dalam tempoh berkenaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, kerja menangkap anjing liar menjadi lebih sukar apabila perangkap yang dipasang didapati beberapa kali dibuka atau anjing yang terperangkap dilepaskan oleh orang awam.
“Sepanjang perangkap dipasang, kerap kali ada orang awam yang melepaskan anjing daripada perangkap yang dipasang, menjadikan kerja-kerja menangkap anjing liar semakin sukar,” katanya.

Tindakan MBMB itu susulan kejadian seorang pelajar Tingkatan Satu, Muhammad Anas Fakhry Mohamad Azdly Shah, 13, cedera digigit seekor daripada sekumpulan enam hingga tujuh anjing ketika berbasikal ke sekolah di Krubong, pagi semalam
Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, mangsa dikatakan sedang menunggang basikal dari Taman Krubong Perdana menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong sebelum dikejar sekumpulan anjing berkenaan.
Sementara itu, Shadan berkata, pemeriksaan susulan turut dilakukan di kawasan Taman Krubong Perdana pada 10 September lalu selepas menerima aduan berhubung anjing liar, namun ketika pemeriksaan dilakukan tiada anjing dikesan berkeliaran.
Bagaimanapun, pemeriksaan di kawasan SK Krubong Dua pada 11 September lalu mendapati terdapat empat ekor anjing berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan, namun tiada tangkapan berjaya dilakukan.
“MBMB akan terus mengambil tindakan dan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengambil serius aduan berkaitan anjing liar terutama di kawasan yang menjadi laluan pelajar ke sekolah dan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk serta murid terjamin. – MalaysiaGazette
Pelajar digigit, diserang tujuh anjing liar ketika berbasikal ke sekolah
















