TEMERLOH – Seorang pekerja buruh maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 138 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di sini malam tadi.
Mangsa, K. Paramasivan A/L Kasi, 48 yang beralamat di Lanchang, di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 9.02 malam tadi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang dari arah Lanchang hendak ke Jalan Jelutong, Mentakab, manakala MPV jenis Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun dari arah bertentangan.
“Ketika sampai di lokasi, motosikal mangsa dipercayai terbabas, lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Nasyim, akibat kemalangan itu, K. Paramasivan dipercayai tercampak ke atas cermin hadapan MPV tersebut dan jatuh di hadapan kenderaan itu, lalu terseret kira-kira 20 meter.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















