Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, Haliza Abdullah menyampaikan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya wanita diberikan ruang lebih besar dalam proses membuat keputusan dan menentukan dasar parti, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah.

Beliau berkata, wanita tidak seharusnya hanya dilihat sebagai jentera pilihan raya yang digerakkan apabila diperlukan, sebaliknya perlu diberi peluang berada di meja pembuat keputusan.

“Apabila kita bercakap tentang wanita hari ini, kita bukan bercakap tentang wanita sebagai jentera. Kita sedang bercakap tentang satu kelompok aktivis UMNO yang telah berusia, berpengalaman dan sentiasa bekerja untuk parti.

“Sudah sampai masanya wanita diberikan ruang untuk melangkah ke depan, bukan hanya memastikan jentera di belakang kita kuat,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO (UMNO) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurut Haliza, dasar 30 peratus perwakilan wanita tidak seharusnya dilihat sekadar memenuhi keperluan jentera, sebaliknya sebagai usaha memastikan lebih ramai wanita terlibat dalam menentukan dasar dan hala tuju parti.

“Dasar 30 peratus perwakilan wanita itu bukan kerana wanita diperlukan untuk menjalankan kerja dan menjadi jentera, tetapi kerana wanita diperlukan untuk berada di meja membuat keputusan dan membuat dasar.

“Kalau 30 peratus itu belum dapat dicapai, tidak mengapa. Kalau dapat 40 peratus pun lebih baik. Kita cuma minta sedikit ruang untuk wanita,” katanya.

Beliau pada masa sama menggesa parti memberikan lebih banyak kerusi kepada calon wanita pada pilihan raya akan datang.

“Kita tumpu dan kita tuntut lebih banyak kerusi untuk calon wanita. Kita mahu wanita bukan sekadar dipanggil untuk bekerja, tetapi diberikan peluang untuk menjadi calon dan pemimpin.

“Wanita perlu berada di meja itu sebagai pembuat dasar, bukan sekadar sebagai jentera,” katanya.

Dalam pada itu, Haliza Abdullah berkata, Wanita UMNO perlu memperkukuh usaha mengenal pasti calon berpotensi lebih awal dan tidak menunggu sehingga pilihan raya semakin hampir.

Jelasnya, usaha membangunkan ‘talent bank’ Wanita UMNO Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi senarai nama, sebaliknya perlu menjadi pangkalan data kepimpinan politik yang mengambil kira pengalaman, pencapaian, integriti, kepimpinan akar umbi serta penerimaan masyarakat.

Talent bank ini bukan sekadar menjadi senarai nama. Ia mesti menjadi pangkalan kepimpinan politik yang mengambil kira pengalaman, pencapaian, integriti, kepimpinan akar umbi dan penerimaan masyarakat.

“Kita perlu tahu siapa wanita yang mahir tentang ekonomi, undang-undang, teknologi atau korporat dan siapa yang mempunyai kepimpinan akar umbi serta mampu menang dan bersedia memikul amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.

Menurut Haliza, calon wanita perlu dikenal pasti sebelum pilihan raya bagi memastikan parti mempunyai pilihan calon yang benar-benar berkelayakan dan berpotensi untuk diketengahkan.

“Kita mesti memilih calon sebelum pilihan raya, bukan mencari calon ketika pilihan raya sudah hampir,” katanya.

Beliau turut menegaskan Wanita UMNO tidak seharusnya dilihat hanya sebagai jentera di belakang tabir, sebaliknya perlu diberi ruang untuk tampil sebagai pemimpin dan pelaksana dalam parti.

“Wanita bukan sekadar di belakang. Wanita UMNO adalah pemimpin dan pelaksana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Haliza berkata, Wanita UMNO Malaysia turut menyatakan pendirian untuk terus berdiri teguh dalam semangat solidariti dan sokongan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, Wanita UMNO tidak melupakan jasa, sumbangan dan kepimpinan bekas Perdana Menteri itu, selain menegaskan pendirian parti berasaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Pada masa sama, beliau berkata, Wanita UMNO Malaysia menyokong kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, termasuk usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti serta memperkukuh UMNO sebagai sebuah parti yang membela kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here