KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh terus bergantung kepada mana-mana parti politik sebaliknya perlu mempunyai kekuatan, pemikiran dan hala tuju sendiri, kata Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.
Beliau berkata, pengalaman UMNO Kelantan yang sekian lama berada dalam pembangkang membuktikan parti itu adalah parti perjuangan yang tidak terikat dengan mana-mana pihak.
Menurutnya, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah bagi menyelesaikan masalah rakyat dan memastikan kehidupan rakyat terbela, bukannya kerana parti itu bergantung kepada parti lain.
“Kita tidak terikat dengan mana-mana parti. Kita hanya berada dalam Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan masalah rakyat, demi kehidupan rakyat sepenuhnya selepas pilihan raya.
“Tetapi kita diuji dengan kita didera dan dibuli. Apakah parti kita ini boleh terikat. Tidak.
“Semestinya parti kita ini mempunyai kekuatan dan pemikiran dan hala tuju kita sendiri. Maka hasil daripada keputusan kita di Johor, kita menang dengan 48 daripada 56 kerusi.
“Tetapi kita dimarahi dan dicemburui oleh rakan-rakan dalam kerajaan,” katanya dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mengulas kemenangan UMNO di Johor, beliau berkata, keputusan itu membuktikan parti mampu mencatat kejayaan apabila bertanding dengan kekuatan sendiri tanpa sokongan parti lain.
Katanya, UMNO menang 48 daripada 56 kerusi di Johor, sekali gus memberikan isyarat bahawa parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik tindakan membuli dan menggertak UMNO dalam kerajaan, termasuk perkara yang didakwa berlaku berkaitan parti berkenaan.
“Guru! Guru! Kami tidak membenci kamu. Tetapi kami melihat kamu terlalu banyak pendedahan, pengasahan di sekeliling kamu. Telah (terlalu) tunduk kepada kehendak DAP sehingga kami dibuli,” katanya.
Beliau turut menegaskan, UMNO tidak seharusnya dijadikan “sarang” untuk menyelesaikan pertikaian politik pihak lain.
Pada masa sama, beliau menyambut baik ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkannya sebagai antara ucapan terbaik pernah disampaikan.
Beliau berkata seruan Zahid untuk mengajak rakan-rakan di luar UMNO bersama-sama memartabatkan parti itu memberi keyakinan bahawa UMNO masih mempunyai ruang untuk bangkit sebagai sebuah parti perjuangan. – MalaysiaGazette
















