Ketua UMNO Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyampaikan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Prestasi beberapa kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipersoalkan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mendakwa kelemahan pengurusan semakin ketara dalam beberapa isu berkaitan rakyat.

Pembahas ucapan dasar Presiden itu berkata, antara yang menjadi perhatian ialah Kementerian Pendidikan, terutama selepas berlaku kesilapan dalam jadual peperiksaan SPM yang menurutnya menjejaskan kredibiliti kementerian.

“Tak pernah terjadi dalam sejarah, Kementerian Pendidikan mengeluarkan jadual peperiksaan yang salah dan juga silap. Ini mencemarkan kredibiliti kementerian itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini pagi ini.

Shaiful Hazizy turut membangkitkan isu Zara Qairina dengan mendakwa Menteri Pendidikan tidak turun padang serta tidak mengambil tahu kebajikan guru dan murid.

Beralih kepada Kementerian Komunikasi, beliau mendakwa, kementerian berkenaan antara yang paling tidak menunjukkan prestasi baik, selain mempersoalkan beberapa dasar kerajaan yang didakwanya kerap berubah atau membuat pusingan U.

Menurutnya, perkara itu lebih mengecewakan apabila terdapat pemimpin yang sebelum ini lantang memperjuangkan kebebasan media, namun kini didakwa berlaku peningkatan jumlah hantaran media sosial yang diturunkan.

“Banyak polisi-polisi kerajaan yang U-turn. Dan yang paling menyedihkan sekali, kalau dulu beliau menyalak bercakap di jalanan bahawa kebebasan media itu disekat, kebebasan media itu tidak ada dalam negara kita.

”Tapi hari ini, ‘percentage’ dan juga bilangan posting dalam media sosial yang banyak diturunkan adalah pada waktu beliau menjadi Menteri Komunikasi,” ujarnya.

Shaiful Hazizy kemudian menyentuh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, dengan mempersoalkan cadangan mengadakan persembahan koir gereja di lobi kementerian atau Parlimen atas alasan meraikan kepelbagaian agama.

Dalam isu sukan pula, beliau mempersoalkan ketidakjelasan mengenai penganjuran beberapa temasya utama negara termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Malaysia (Sukma).

“Kita pun tak tahu bila jadi Sukan Komanwel. Sukma. Kita pun tak tahu bila jadi Sukma,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap prestasi setiap kementerian dan memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukannya menimbulkan lebih banyak persoalan.

Shaiful Hazizy berkata, kelemahan dalam pengurusan kementerian akhirnya memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan perlu diperbetulkan jika mahu pentadbiran negara bergerak dengan lebih berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here