KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menolak sebarang rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) dan memilih untuk membuka perbincangan dengan Pas dalam menentukan hala tuju politik negeri itu menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pendirian itu mengambil kira perkembangan politik semasa serta keadaan dalam PN yang disifatkannya semakin tidak menentu.
“Kita tak mahu berunding dengan Perikatan Nasional. Kita akan berunding dengan Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini pagi ini.
Menurut Shaiful Hazizy, UMNO Kedah tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa atau mengambil pendekatan ‘membeli insurans’ saat akhir dalam menentukan kerjasama politik.
Katanya, perkembangan membabitkan Bersatu termasuk wakil rakyat yang mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Wawasan turut menjadi antara perkara yang perlu diperhatikan sebelum sebarang keputusan politik dibuat.
Dalam pada itu, beliau berkata UMNO Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden UMNO untuk menentukan hala tuju politik negeri berkenaan, termasuk soal rundingan kerusi dan usaha mengembalikan kekuatan UMNO Kedah dalam peta politik negara.
“Kita serah 100 peratus kepada presiden untuk menentukan masa depan dan hala tuju politik negeri Kedah,” ujarnya.
Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah juga tidak mempunyai masalah untuk menghadapi pilihan raya kerana parti itu mempunyai pengalaman berdepan Pas serta rangkaian organisasi yang kukuh di seluruh negeri.
Menurutnya, UMNO Kedah mempunyai 284,994 ahli aktif dengan 2,228 cawangan di seluruh negeri.
Beliau berkata, dari segi perpaduan dalaman, UMNO Kedah tidak berdepan perpecahan besar dan sebarang perbezaan yang berlaku hanya melibatkan persaingan kecil yang biasa dalam gerak kerja parti.
Katanya, apabila pilihan raya tiba, seluruh anggota parti akan bersatu dan memberi tumpuan kepada usaha memenangkan calon yang dipertandingkan.
Shaiful Hazizy berkata, soal siapa yang akan bekerjasama dengan UMNO selepas pilihan raya perlu ditentukan melalui rundingan yang dibuat dengan teliti, namun pendirian UMNO Kedah untuk membuka ruang perbincangan dengan Pas sudah jelas. -MalaysiaGazette
















