Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
KUALA LUMPUR – Kebijaksanaan para perwakilan UMNO akan menentukan jalan hadapan parti itu bukan sekadar untuk kemenangan pilihan raya tetapi demi memastikan survival dan kelangsungan UMNO sebagai parti teras bangsa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16 ) menjadi detik penentuan bukan sekadar mahu menang tetapi memastikan UMNO terus relevan dan menjadi wadah teras bangsa.
Jelas beliau, apa sahaja keputusan yang bakal dimuktamadkan akan membentuk ‘wajah; dan ‘dinamik UMNO bukan sahaja PRU akan datang tetapi juga apa yang berlaku selepas itu.
“Saya juga melihat kesinambungan yang jelas antara ucapan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang disampaikan semalam.
“Keselarasan ini penting kerana ia memberi gambaran kepimpinan tertinggi UMNO berada pada landasan pemikiran yang sehaluan, tersusun dan strategik dalam menentukan arah masa depan parti.
“Lebih penting, segala gagasan ini perlu diterima, dibahaskan dan dihadam secara terbuka oleh para perwakilan. Inilah medan tertinggi demokrasi parti untuk menentukan haluan UMNO,” katanya di media sosialnya di sini hari ini.
Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam menambah, UMNO mesti berani membaca perubahan dan menyesuaikan pendekatan mengikut tuntutan zaman serta berfikir melangkaui pilihan raya dan menawarkan penyelesaian sebenar kepada rakyat.
Pada masa sama kata beliau, UMNO perlu Memperkukuh Melayu dan Islam sambil memastikan semua kaum yakin untuk berjalan bersama selain memperkukuh persefahaman politik untuk mencari titik persamaan serta mengelakkan pertembungan yang merugikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here