CORON – Mayat penumpang yang maut dalam kebakaran feri di perairan Filipina tiba di sebuah pelabuhan berhampiran bandar peranginan Coron, Palawan pada pagi Sabtu, ketika pengawal pantai negara itu memberi amaran bahawa angka korban seramai 35 orang dijangka meningkat.
Jurucakap pengawal pantai, Noemie Cayabyab dalam sidang media hari ini berkata, mayat berkenaan akan diserahkan kepada penyiasat forensik polis untuk “proses pengendalian dan pengecaman sewajarnya” sebelum pihak berkuasa tempatan memaklumkan kepada waris mangsa.
“Buat masa ini, tumpuan kami adalah kepada usaha mengeluarkan mangsa dan selepas itu kami akan meneruskan siasatan,” katanya, sambil mengesahkan mayat ditemui di kawasan penginapan kelas ekonomi kapal berkenaan.
Penyiasat polis dilihat tiba di pelabuhan tidak lama selepas sidang media itu berakhir.
Ketika ditanya mengenai jumlah mayat yang masih berada di atas kapal, beliau berkata, pihak berkuasa akan memberikan perkembangan lanjut kemudian pada hari sama.
Cayabyab memberitahu, pemindahan pertama dihadkan kepada 30 mayat berdasarkan kapasiti kapal peronda yang digunakan untuk membawa mangsa, manakala beberapa mayat lain masih berada di atas feri.
Lima lagi mangsa sebelum ini disahkan maut sejurus selepas kebakaran berlaku.
Foto yang dikeluarkan pengawal pantai menunjukkan deretan beg mayat dipindahkan ke sebuah kapal kecil, dengan beberapa petugas memakai sut perlindungan bahan berbahaya.
Setakat ini, seramai 30 penumpang dan 13 kru berjaya diselamatkan, manakala 54 orang masih belum dapat dikesan.
Pada Jumaat, Cayabyab memberitahu sebuah stesen radio bahawa kebakaran bermula di ruang kargo sebelum merebak ke seluruh kapal dalam tempoh beberapa saat.
“Sejak mereka terdengar letupan kuat, kemudian muncul asap dan selepas itu api, ia merebak dengan sangat pantas.
“Segalanya berlaku dalam beberapa saat,” katanya sambil menambah bahawa mereka yang berjaya meninggalkan kapal tidak sempat memakai jaket keselamatan,” katanya berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat.
Manifest feri menyenaraikan 134 kru dan penumpang, namun dua daripadanya tidak menaiki kapal, menurut pengawal pantai.
Feri itu turut membawa barangan, sebuah kenderaan elektrik, sebuah trak pikap dan beberapa motosikal. – Agensi
















