Abdul Wahid Omar, Pro-Canselor USIM (tiga dari kanan) menyempurnakan perasmian IBAF2026 yang disertai komuniti akademia dan industri bagi memperkukuh ekosistem kewangan Islam.

SEPANG – Penganjuran The 12th Islamic Banking, Accounting and Finance International Conference 2026 (iBAF2026) menjadi platform penting dalam menghimpunkan komuniti akademia dan industri bagi memperkukuh pembangunan ilmu, bakat serta masa depan ekosistem kewangan Islam.

Persidangan antarabangsa selama dua hari anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung baru-baru ini menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pelajar, alumni dan pengamal industri dalam usaha merapatkan jurang antara dunia akademik dengan perkembangan semasa sektor kewangan Islam.

Pengarah iBAF2026, Dr. Nazratul Aina Mohamad Anwar berkata, kekuatan persidangan berkenaan terletak pada kesediaan pelbagai pihak untuk berkongsi kepakaran, sumber dan peluang demi menghasilkan manfaat yang lebih luas.

Menurut beliau, iBAF bukan sekadar platform pembentangan hasil penyelidikan, sebaliknya medan untuk membina jaringan dan membuka peluang baharu kepada pelajar, penyelidik serta pemain industri.

“Lebih bermakna apabila sokongan yang diterima daripada rakan industri dapat diterjemahkan kepada manfaat pendidikan dan pembangunan bakat,” katanya.

Antara manfaat yang diketengahkan menerusi penganjuran iBAF2026 ialah peluang penyertaan pelajar melalui sokongan dana wakalah zakat kepada golongan asnaf fisabilillah yang layak, sekali gus membolehkan mereka menyertai persidangan, membentangkan hasil penyelidikan serta memperoleh pendedahan bersama ahli akademik dan pengamal industri.

Sebelum ini, sebanyak 52 slot pembentangan pelajar pascasiswazah telah ditawarkan menerusi sokongan Dana Zakat Maybank Islamic, manakala Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM turut menyokong penyertaan pelajar dalam persidangan tersebut.

Nazratul Aina berkata, sokongan berkenaan membuktikan bahawa kerjasama antara universiti dan industri mampu bergerak melangkaui aspek penajaan program semata-mata.

“Apabila pelajar mendapat peluang membawa penyelidikan mereka ke pentas persidangan antarabangsa hasil sokongan ini, di situlah kita melihat nilai sebenar sesebuah kerjasama,” katanya.

iBAF2026 pada tahun ini yang mengetengahkan tema Future-Ready Islamic Accounting, Banking and Finance: Integrating Artificial Intelligence, Sustainability and Governance telah dirasmikan oleh Pro-Canselor USIM, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Dalam ucapannya, beliau menekankan keperluan sistem kewangan Islam kembali kepada tujuan asasnya dalam menyokong ekonomi sebenar serta kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, beliau turut mengetengahkan pendekatan purpose-based pricing atau penetapan harga berasaskan tujuan, khususnya melibatkan pembiayaan keperluan asas seperti perumahan, pengangkutan dan Pendidikan.

“Mengambil contoh isi rumah berpendapatan rendah yang mendapatkan pembiayaan untuk membeli rumah bernilai RM300,000 tidak seharusnya menanggung kos lebih tinggi berbanding isi rumah berpendapatan tinggi yang membeli kediaman bernilai RM1 juta” ujar Abdul Wahid.

Turut menyampaikan ucaptama ialah Pengerusi Jawatankuasa Syariah Maybank Islamic Berhad, Dr. Akhtarzaite Abdul Aziz menerusi pembentangan bertajuk Future-Ready Islamic Finance: Innovation with Purpose.

Beliau menegaskan, inovasi dalam kewangan Islam perlu mempunyai tujuan yang jelas, berkhidmat kepada manusia, memajukan keadilan dan kekal berteraskan nilai Syariah.

Persidangan itu turut mencatatkan beberapa perkembangan strategik termasuk simbolik kerjasama USIM dengan Kazan Federal University (KFU), Rusia, pelancaran USIMPay melalui inisiatif Payment Service Agent (PSA) Bank Islam Malaysia Berhad serta penubuhan USIM Islamic Finance Alumni Chapter.

Nazratul Aina berkata, kejayaan sebenar iBAF2026 bukan hanya terletak pada pengisian persidangan, tetapi sejauh mana jaringan, kerjasama dan peluang yang terbina dapat diteruskan selepas persidangan berakhir.

“Jika hubungan ini terus berkembang melalui penyelidikan, pembangunan pelajar, kerjasama industri, alumni dan jaringan antarabangsa, itulah kejayaan sebenar iBAF2026,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here