Ketua UMNO Bahagian Selayang, Dato' Hasnal Rezua Merican bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu disegerakan bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan semula kerajaan yang benar-benar mahu mereka pilih, kata Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican.

Beliau berkata, kerajaan yang wujud selepas PRU15 terbentuk hasil persetujuan kolektif beberapa parti politik bagi memperoleh sokongan melepasi ambang 112 kerusi Parlimen, bukannya sebuah kerajaan dibentuk oleh satu parti yang memperoleh mandat bersendirian.

Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan rakyat wajar diberikan peluang untuk membuat pilihan baharu sekiranya gabungan yang membentuk kerajaan kini dilihat semakin berdepan keretakan dan ketidakharmonian.

“Bagi saya rakyat berhak mendapat semula peluang untuk memberi mandat baharu kepada satu kerajaan yang dipilihnya.

“Kalau coalition ini sudah tidak begitu berfungsi dengan baik sebagai kerajaan, percakaran sedang berlaku dan sebagainya, it’s not conducive kepada negara,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026), di sini, hari ini.

Hasnal berkata, perkembangan pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini juga boleh dibaca sebagai petunjuk terhadap kecenderungan pengundi, termasuk keputusan di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, keputusan tersebut wajar dilihat sebagai antara indikator untuk menilai sentimen semasa rakyat terhadap parti-parti politik.

“Kalau kita boleh lihat sebagai referendum ataupun gambaran apakah isi hati rakyat, saya melihat ada logiknya untuk mandat ini dikembalikan kepada rakyat untuk ia membuat pilihan,” katanya.

Menurutnya, mandat baharu juga penting sekiranya kerajaan campuran sedia ada tidak lagi mampu menunjukkan tahap keharmonian serta kestabilan yang diperlukan untuk mentadbir negara.

Hasnal berkata, Malaysia tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku keruntuhan kerajaan sebelum pilihan raya diadakan.

“Ia mungkin ada keretakan, ia belum sampai keruntuhan. Ia ada keretakan, ia sudah menunjukkan ciri-ciri ketidakharmonian.

“Kita tidak mahu tebuk atap. Kita tak mahu kerajaan yang masuk melalui pintu belakang dan ambil alih. This is a gentleman’s way of doing it. Bubarkan Parlimen, kembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Hasnal turut mendakwa rakyat mampu menilai sendiri perkembangan politik dan tindakan penguatkuasaan yang berlaku kebelakangan ini, khususnya apabila ia berlaku serentak dengan ketegangan politik.

Katanya, beliau tidak mempertikaikan proses undang-undang, namun pada masa sama rakyat berhak membuat penilaian terhadap masa dan konteks sesuatu tindakan.

“Saya tidak kata proses perundangan itu tidak boleh berlaku. Tetapi kalau semuanya datang pada satu masa, garis masa itu boleh ditentukan dengan ketidakstabilan politik, rakyat boleh menilai benda itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here