KUALA LUMPUR – Hujan menyebabkan keadaan jerebu di seluruh negara mencatatkan trend pemulihan.
Bagaimanapun, beberapa kawasan di Sarawak terus terjejas dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sehingga petang ini, 50 stesen mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana, manakala 12 stesen berada pada tahap baik.
Setakat jam 4 petang, IPD Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) paling tinggi di seluruh negara iaitu 236, meletakkan kawasan berkenaan dalam kategori sangat tidak sihat.
Selain Serian, beberapa kawasan lain di Sarawak masih terperangkap dalam kategori tidak sihat, antaranya Sri Aman (199) Samarahan( 176) Kuching( 174) dan Sarikei (115)
Kawasan lain di Sarawak seperti Bintulu (97), Mukah (90), Miri (89), dan Samalaju (89) kekal berada pada tahap sederhana.
Ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan, taburan hujan dan ribut petir di beberapa kawasan pedalaman di Perak, Selangor serta Kuala Lumpur memainkan peranan penting mendatangkan kesan pembersihan udara secara semula jadi di Semenanjung.
Bagaimanapun, bagi Sarawak, walaupun hujan dan ribut petir diramalkan berlaku pada sebelah pagi dan petang, keadaan cuaca yang bertukar kering menjelang malam membolehkan jerebu berkumpul semula di kawasan terjejas.
Orang ramai di kawasan terjejas, khususnya Serian dan bahagian barat Sarawak, dinasihati supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan dan sentiasa memakai pelitup muka bagi mengelakkan risiko kesihatan. -MalaysiaGazette
















