Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zain bercakap ketika ditemubual pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan melihat ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai isyarat jelas parti itu semakin bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk kemungkinan menamatkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin berkata, ucapan Zahid kali ini bukan sekadar menyentuh hala tuju parti, sebaliknya mencerminkan keresahan akar umbi dan suara orang Melayu yang didakwa semakin kecewa dengan prestasi kerajaan ketika ini.

Menurut beliau, perkara paling ketara ialah perubahan nada serta keyakinan Presiden UMNO yang dilihat sudah semakin terbuka untuk membawa parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan apabila tiba masa yang sesuai.

“Kalau kita lihat satu persatu ucapan dasar yang telah disampaikan oleh Presiden, saya melihat keyakinan beliau untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan mungkin juga sudah bersedia untuk PRU16.

“Saya melihat kali ini kesabaran presiden telah hampir ke penghujung. Selama ini, tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat, beliau cukup bersabar dengan apa sahaja tindakan yang dibuat oleh Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Fadil berkata, perubahan itu turut dapat dirasakan melalui gaya penyampaian dan bahasa tubuh Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar yang menggambarkan kesabaran yang selama ini dipendam semakin menipis.

Katanya, keadaan itu menjadikan ucapan dasar presiden sebagai sesuatu yang dinanti-nantikan akar umbi kerana ia dilihat membawa suara yang selama ini dirasakan tidak cukup diberi perhatian.

“Ini ucapan yang memang kami semua tunggu-tunggu daripada Presiden kerana inilah suara sebenar orang Melayu.

“Orang Melayu hari ini sangat kecewa dengan kerajaan yang ada dan dengan prestasi Perdana Menteri dalam mentadbir negara,” katanya.

Dalam masa sama, katanya rakyat tidak mampu menerima keadaan politik dan pentadbiran negara ketika ini, sekali gus menyifatkan PRU16 sebagai medan paling sesuai untuk rakyat menentukan semula arah kepimpinan negara.

“Ini waktu yang paling sesuai, waktu yang memang dinantikan masyarakat, terutama orang Melayu, untuk kita mengadakan PRU16 dengan segera kerana rakyat di bawah hari ini rata-rata sudah tidak tahan dengan keadaan dan situasi yang berlaku,” katanya.

Selain itu, katanya, keputusan pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan menjadi bukti bahawa sokongan terhadap parti itu masih mempunyai ruang untuk berkembang menjelang PRU16.

“Di Negeri Sembilan, dari 36 kerusi yang dipertandingkan, UMNO bertanding di 16 kerusi dan 100 peratus tiada satu pun kerusi yang UMNO tewas.

“Kita lihat juga penerimaan masyarakat Cina, termasuk di DUN Chennah dan DUN Repah yang bertahun-tahun tidak dapat dimenangi BN yang diwakili MCA. Hari ini kita berjaya menewaskan calon-calon berkenaan,” katanya.

Beliau turut menyorot kemenangan calon muda BN, John Seow, yang berjaya mengatasi calon DAP dan dianggap mempunyai kedudukan politik kukuh.

“Perkembangan itu menunjukkan penerimaan terhadap BN tidak semestinya terhad kepada pengundi Melayu, malah terdapat ruang untuk parti itu menarik semula sokongan masyarakat Cina,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil turut menjangkakan PAU2026 kali ini berkemungkinan menjadi perhimpunan terakhir parti sebelum negara memasuki fasa PRU16.

“Saya rasa ini mungkin PAU yang terakhir sebelum kita menghadapi PRU16.

“Insya-Allah, saya yakin dengan semangat yang diberikan Presiden dan kepimpinan parti, UMNO dan BN akan mampu menuju Putrajaya dan menang pada PRU16,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Fadil mengakui terdapat kekecewaan dalam kalangan ahli UMNO berhubung perkembangan proses pengampunan diraja membabitkan bekas Presiden parti itu.

Bagaimanapun, katanya, UMNO sebagai parti yang mendukung institusi Raja-Raja Melayu akan terus menghormati sebarang keputusan yang dibuat.

“Selaku ahli UMNO, sudah tentulah perasaan kecewa itu pasti ada apabila seorang Presiden yang juga mantan Perdana Menteri dan banyak jasanya kepada rakyat hari ini nampaknya tidak dapat diteruskan proses pengampunan beliau.

“Namun, kami yakin dan percaya mungkin ada perkara yang tidak boleh diumumkan dan kami cukup menghormati apa sahaja keputusan JPMK,” katanya.

Fadil berkata, beliau tetap percaya keadilan akhirnya akan dicapai dan berharap Najib diberikan pembelaan sewajarnya.

“Selaku parti yang mendukung Raja-Raja Melayu, kami yakin dan percaya satu saat nanti keadilan pasti akan dapat dicapai dan Bossku, Insya-Allah pasti akan dibebaskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here