Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Sekolah Patriotik UMNO atau SPU akan terus digerakkan bagi membantu jentera parti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk memastikan kemenangan besar seperti di Johor dan Negeri Sembilan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat kerana mereka yang dikenali patriot itu bukan hanya pandai bercakap tentang perjuangan parti tetapi sanggup turun berjuang di peringkat akar umbi.

Menteri Besar Pahang itu berkata, pelapis pemimpin parti itu telah dilatih dan membuktikan kemampuan mereka di lapangan serta diberikan ruang dalam kepimpinan parti sama ada di peringkat bahagian mahu pun cawangan.

“Berikan mereka tempat, berikan mereka ruang dan berikan mereka peluang kerana suara mereka didengari. Biarlah idea mereka diketengahkan dan lebih penting, libatkan mereka dalam perbincangan dan proses membuat keputusan parti.

“Kerana orang muda ini hidup dalam zaman yang berbeza dan mereka memahami bahasa generasi mereka dan tahu bagaimana anak muda berfikir serta tahu keresahan dan harapan generasi baharu,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy memberitahu, di PRN Johor, seramai 100 patriot telah dihantar membantu jentera parti di 50 Dewan Undangan Negeri.

Katanya, menerusi Sekretariat Undi Kali Pertama atau Jejak UKP, mereka turun bersemuka menemui 18,529 pengundi kali pertama dan menghubungi 10,341 lagi secara atas talian melalui pusat panggilan.

“Di Negeri Sembilan pula, kita menghantar 50 patriot menemui 13,267 pengundi secara bersemuka dan 7,276 lagi secara atas talian di 25 DUN.

“Secara keseluruhannya di kedua-dua PRN ini, SPU telah menghantar 184 patriot, dengan dua patriot bertugas di setiap DUN dan telah menyantuni hampir 50,000 pengundi kali pertama sama ada secara bersemuka mahupun secara atas talian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here