Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 mungkin menjadi antara perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas meniupkan semangat kepada ahli parti bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang paling hampir, khususnya di Melaka.

“Kalau kita tengok daripada jangka masa dan daripada ucapan yang Presiden sampaikan, memang nak meniupkan semangat kepada pilihan raya negeri yang akan berlaku paling dekat, mungkin di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan penggulungan Presiden UMNO sempena PAU 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Azalina turut menyambut baik cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kaedah mengukur kesetiaan dan keikhlasan calon sebelum menentukan kerusi yang akan diberikan kepada BN.

Menurutnya, cadangan itu mudah dilaksanakan dan boleh menjadi ukuran bagi menilai kekuatan BN, khususnya di kawasan yang bukan menjadi kubu tradisi parti.

“Salah satu cadangan untuk negeri membuat penilaian dan menentukan pemberian kerusi kepada Barisan Nasional. Bagi saya, itu satu cadangan yang begitu mudah dilaksanakan.

“Ia bukan satu cadangan yang sukar. Maknanya, ia sangat mudah dan terus kepada perkara. Bagi saya, itu bagus untuk mengukur,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, BN juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan bukannya sekadar ‘penumpang’.

Katanya, walaupun jumlah kerusi BN dalam kerajaan mungkin lebih kecil berbanding parti lain, pembentukan kerajaan itu berdasarkan persetujuan bersama yang menghasilkan sokongan 112 Ahli Parlimen.

“Memang kita melihat kita adalah kerajaan bersama. Walaupun kerusi mungkin mereka lebih, kita kurang, ia bukan secara berkadar dan itu memberikan nombor 112 dalam Parlimen.

“Saya melihat bahawa kita ini tidak boleh dilihat hanya sebagai penumpang. Kita adalah juga sebahagian daripada kerajaan tersebut,” katanya.

Azalina berkata, perjanjian membentuk Kerajaan Perpaduan tidak menafikan hak mana-mana parti untuk bergerak menggunakan formula berbeza di peringkat negeri, selagi ia dibenarkan oleh perlembagaan negeri.

Katanya, pilihan raya negeri merupakan mekanisme yang diperuntukkan dalam perlembagaan negeri dan tidak wajar tindakan UMNO di peringkat negeri dilabel sebagai ‘derhaka’.

“Untuk mengatakan kita derhaka, saya rasa agak keterlaluan. Apa yang kita buat, kita buat atas landasan yang dibenarkan.

“Pilihan raya negeri sememangnya sentiasa ada,” katanya. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here