Jasad kelima-lima mangsa helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, baru-baru ini akan diserahkan kepada waris hari ini.

KUALA LUMPUR: Urusan penyerahan jenazah mangsa nahas helikopter di Miri, Sarawak kepada keluarga masing-masing dilaksanakan di Jabatan Forensik Hospital Miri pagi ini.

Sehubungan itu, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, pihaknya telah menyelaraskan pergerakan jenazah mangsa-mangsa terlibat ke tempat persemadian masing-masing.

Katanya, bagi Pegawai Perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamarudin, jenazah Allahyarham akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.

Bagi jururawat, Debra Moset katanya, jenazah mendiang akan diterbangkan dari Miri ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan, esok.

Sementara itu, bagi Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit Henry, jenazah mendiang akan dipindahkan daripada Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini, manakala urusan pengebumian akan dibuat pada Selasa, di Anglican Cemetery Lambir, Miri.

Bagi jururawat, Jessie Paya Jok pula, jenazah mendiang akan dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini, manakala urusan pengebumian akan dibuat esok, di BEM Cemetery Lambir, Miri.

Bagi juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham pula, jenazah Allahyarham akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) menaiki penerbangan Malaysia Airlines untuk dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.

“KKM amat berterima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan kemudahan logistik TUDM bagi melancarkan urusan penghantaran pulang jenazah ke Semenanjung Malaysia.

“Penghargaan tulus ikhlas juga turut dipanjangkan kepada pihak PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), pengurusan Hospital Miri, serta agensi yang telah bertungkus-lumus tanpa penat lelah dari fasa mencari dan menyelamat (SAR) sehinggalah ke fasa pengurusan jenazah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, tambah beliau, bagi memastikan akses kesihatan rakyat pedalaman tidak terjejas, KKM terus memperkukuh kerjasama strategik bersama JBPM.

Ujarnya, ini bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC), susulan penangguhan sementara perkhidmatan FDS untuk tujuan siasatan, semakan dan penilaian menyeluruh. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here