KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak terlalu ghairah mencabar Parlimen dibubarkan segera.
Ini kerana, menurutnya, pentadbiran Kerajaan Madani ketika ini berlangsung dengan baik.
Sementelah, tambah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor itu, Barisan Nasional (BN) perlu sedar hakikat gabungan parti itu hanya memiliki 30 kerusi Parlimen berbanding 79 oleh Pakatan Harapan (PH).
“Jangan terdesak sehingga meminta orang lain membubarkan Parlimen untuk membuktikan sesuatu yang tidak pasti,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Lebih menarik, kata Saifuddin, ketika Ahmad Zahid `riuh bergegak gempita di PWTC’, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani teguh bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke India.
Ujarnya, ia merupakan satu isyarat halus dan jelas cara Johari menunjukkan bagaimana hendak bekerja dengan jujur.
Sementera itu, tambahnya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula masih melihat kerjasama PH-BN sebagai pilihan utama di Pahang, negeri kelahiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sikap pemimpin yang tahu siapa kawan dan lawan seperti inilah yang membawa nilai kestabilan dalam politik negara,” katanya.
Lebih menguatkan keadaan, tambahnya, apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencabar Pas-PN membubarkan DUN Terengganu yang diketuai Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi menilai keikhlasan sebenar Pas yang disifatkan selalunya bijak memainkan watak musang berbulu ayam.
“Kini hal yang ketara adalah di dalam UMNO sendiri pun belum jelas siapa ikut siapa dan pimpinan mana yang betul-betul yakin atas tindakan Zahid Hamidi menyerang Kerajaan Madani secara keterlaluan itu adalah satu perkara yang betul.
“Resolusi UMNO untuk kekal dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan juga menjawab segala-galanya,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, sebelum mempertikai dan mencabar `Guru’ (Anwar), adalah lebih baik Ahmad Zahid memastikan terlebih dahulu memiliki ramuan politik yang mencukupi.
“…kerana risau nanti ‘rakan-rakan’ sekelas pula yang mencari jalan untuk menyingkirkan anda lebih awal,” katanya. – MalaysiaGazette
















