Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan siri pertemuan dengan empat pemain industri utama India bagi meneroka peluang memperluas pelaburan dan kerjasama strategik antara Malaysia dan India dalam sektor automotif, teknologi, perniagaan tani dan ekonomi digital.

Pertemuan yang berlangsung di New Delhi itu membabitkan wakil DRB-HICOM, SEGULA Technologies India, AWL Agri Business Limited dan Motherson Group.

Anwar berkata, pertemuan pertama bersama wakil DRB-HICOM yang turut disertai rakan strategik syarikat itu membincangkan peluang kerjasama dengan industri automotif di India.

Beliau kemudian bertemu kepimpinan SEGULA Technologies India, syarikat kejuruteraan dan teknologi global yang menyatakan hasrat menubuhkan Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

“Inisiatif ini berupaya memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan melalui pengambilan bakat Malaysia serta penerapan kepakaran kecerdasan buatan dalam sektor automotif, aeroangkasa, tenaga dan pembuatan termaju,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Anwar seterusnya mengadakan pertemuan dengan AWL Agri Business Limited, antara syarikat utama dalam sektor perniagaan tani India, bagi membincangkan usaha meningkatkan pembelian produk daripada pembekal Malaysia.

Menurut beliau, AWL Agri Business Limited telah mengimport produk minyak sawit Malaysia bernilai kira-kira RM1.5 bilion, sekali gus membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam sektor minyak sawit, lemak khusus, oleokimia dan produk hiliran.

Pertemuan terakhir diadakan bersama wakil Motherson Group yang berkongsi perancangan untuk mengembangkan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital di Malaysia.

“Langkah ini akan memanfaatkan kekuatan bakat tempatan, infrastruktur digital serta kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran serantau,” katanya.

Anwar berkata, siri pertemuan itu mencerminkan keyakinan pemain industri dan pelabur terhadap potensi serta hala tuju ekonomi Malaysia.

“Kerajaan Madani akan terus memudah cara pelaburan berkualiti yang memperkukuh industri tempatan, mencipta pekerjaan bernilai tinggi serta memastikan limpahan manfaatnya dapat dirasai rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here