JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki tempatan yang menahan dan menyemak dokumen serta menyamun etnik Rohingya akhirnya memakan diri apabila ditangkap polis di Taman Perling di sini, kelmarin.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan pukul 5.40 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara hasil maklumat dan risikan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tangkapan itu dibuat susulan dua laporan polis yang diterima pada Rabu dan Khamis, daripada dua lelaki etnik Rohingya berusia 25 dan 35 tahun.
“Dalam kejadian pertama di Taman Perling, mangsa yang sedang menunggang motosikal untuk mencari pelanggan memotong rumput ditahan suspek sebelum kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mesin pemotong rumput milik mangsa dirampas. Suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian.
“Bagi kejadian kedua di kawasan berhampiran, suspek bertindak menahan seorang lagi warga asing dan meminta kad UNHCR. Bagaimanapun, berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak menumbuk serta mengugut mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, hasil penahanan suspek, polis merampas sebuah mesin pemotong rumput, kunci motosikal, sepasang pakaian, sebilah parang dan sekeping kad UNHCR.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 18 September ini selepas perintah reman dibenarkan Majistret Mahkamah Johor Bahru bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, polis turut memanggil pemilik motosikal berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 76 tahun bagi merakam keterangan, selain membuat semakan ketulenan kad UNHCR mangsa menerusi pejabat UNHCR di Kuala Lumpur.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun; Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah,” jelasnya.
Pada masa sama, Ab Rahaman mengingatkan orang ramai bahawa mana-mana pihak selain pihak berkuasa yang menahan, menyekat dan menyemak dokumen diri individu lain adalah melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.- MalaysiaGazette
















