Foto: FB Dr Azman Ibrahim

DUNGUN – Seekor penyu belimbing dikesan mendarat dan bertelur 81 biji di Pantai Rantau Abang di sini awal pagi tadi, menjadi pendaratan kedua spesies itu di Terengganu tahun ini selepas kali pertama direkodkan di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 Sept. lepas.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Pang Nyukang berkata spesies penyu terbesar di dunia itu dipercayai mendarat di pantai tersebut pada 1.30 hingga 2.30 pagi tadi dan sarang telur berkenaan ditemukan pemajak telur penyu pada 4 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata ibu penyu berkenaan telah kembali ke laut selepas selesai bertelur dan tidak lagi berada di lokasi ketika sarang telur ditemukan.

“Jabatan Perikanan tidak menolak kemungkinan penyu belimbing yang mendarat merupakan ibu penyu sama yang mendarat dan bertelur di Pantai Pasir Putih, Marang kira-kira dua minggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Foto: FB Dr Azman Ibrahim

Katanya, saiz jejak ‘Raja Penyu’ yang mendarat itu berukuran 2.20 meter (m) manakala saiz telur pula lima sentimeter (cm).

Pang berkata telur penyu berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk dieramkan di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu di Rantau Abang.

“Telur penyu yang dieram itu dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari daripada hari ini,” katanya sambil memberitahu ibu penyu tersebut dijangka kembali ke jajaran Pantai Rantau Abang untuk bertelur buat kali ketiga dalam tempoh dua minggu lagi.

Bernama sebelum ini melaporkan seekor penyu belimbing mendarat di Pantai Pasir Putih pada malam 1 Sept lepas dan bertelur sebanyak 44 biji.

Pendaratan terakhir reptilia marin itu di pantai Terengganu dilaporkan pada 2017. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here