Mohd Asna bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU 2026.

KUALA LUMPUR – Amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 perlu dihayati seluruh anggota parti sebagai panduan untuk memperkukuh semula kekuatan UMNO bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin berkata, ucapan penggulungan Ahmad Zahid membawa mesej yang jelas mengenai hala tuju parti dan tanggungjawab setiap anggota untuk memastikan UMNO kembali diyakini rakyat.

Menurutnya, perwakilan tidak seharusnya melihat ucapan Presiden sekadar sebagai amanat yang didengar sepanjang PAU, sebaliknya perlu memahami mesej di sebaliknya dan menterjemahkannya melalui tindakan selepas kembali ke kawasan masing-masing.

“Hayati betul-betul apa yang Presiden sampaikan. Bagi saya, ucapan beliau bukan sekadar ucapan untuk menutup PAU, tetapi satu amanat kepada seluruh ahli supaya kita sedar bahawa perjuangan UMNO belum selesai.

“Kita perlu bawa semangat itu balik ke kawasan dan bekerja untuk rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohd Asna Amin

Mohd Asna berkata, Ahmad Zahid berjaya menyuntik keyakinan kepada perwakilan UMNO bahawa parti itu masih mempunyai kekuatan untuk kembali menjadi sebuah parti yang berpengaruh, terutama jika seluruh anggota mampu mengetepikan perbezaan dan bergerak dalam satu arah.

Katanya, kekuatan itu tidak boleh hanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi, sebaliknya perlu diterjemahkan oleh bahagian, cawangan, sayap serta seluruh jentera parti.

“Saya nampak Presiden memberikan satu suntikan yang sangat kuat kepada perwakilan. Sekarang terpulang kepada kita di bawah untuk menterjemahkannya.

“Jangan semangat hanya ada dalam Dewan Merdeka, tetapi apabila balik ke kawasan semuanya hilang,” katanya.

Sebagai Exco Negeri Sembilan, beliau berkata, kekuatan sesebuah organisasi politik turut bergantung kepada keupayaan pemimpinnya mendengar dan memahami masalah rakyat secara langsung.

Mohd Asna yang juga ADUN Lenggeng berkata, UMNO perlu kembali mendekati masyarakat tanpa menunggu pilihan raya semakin hampir.

“Kita kena turun padang. Rakyat mahu melihat kita ada bersama mereka ketika mereka perlukan bantuan, bukan hanya apabila kita perlukan undi. Itu yang akan membina semula keyakinan,” tegasnya.

Beliau berkata, usaha mengembalikan Gelombang Biru juga perlu dilihat sebagai satu gerakan untuk menyatukan semula kekuatan UMNO, bukannya sekadar slogan politik.

Menurutnya, gelombang itu hanya boleh tercetus jika seluruh anggota mempunyai keyakinan yang sama terhadap masa depan parti dan bersedia bekerja keras untuk mencapai matlamat tersebut.

“Gelombang Biru mesti kembali. Tetapi kita jangan anggap ia akan berlaku dengan sendiri. Gelombang itu kita yang kena cipta.

“Kalau ahli UMNO bersatu, jentera kuat dan kita konsisten bersama rakyat, saya percaya gelombang itu boleh dirasai semula,” jelas beliau lagi.

Mohd Asna berkata, penyatuan menjadi antara asas paling penting jika UMNO mahu kembali mendapat tempat lebih besar dalam politik negara.

Katanya, perbezaan pandangan dalam parti adalah perkara biasa, namun ia tidak sepatutnya mengatasi kepentingan UMNO secara keseluruhan.

“Kita boleh berbeza pandangan tetapi jangan sampai kita bermusuh sesama sendiri. Kita perlu belajar melihat perkara yang lebih besar.

“Kalau matlamat kita sama untuk menguatkan UMNO, banyak perkara boleh diselesaikan,” katanya lagi.

Beliau berkata, UMNO juga perlu berani melakukan perubahan berdasarkan kehendak pengundi, terutama generasi muda yang semakin kritikal dalam menilai parti politik.

Menurutnya, generasi baharu tidak hanya mahu mendengar sejarah perjuangan UMNO, tetapi mahu melihat tawaran yang jelas mengenai masa depan mereka.

“Anak muda mahu tahu apa yang kita tawarkan untuk mereka. Mereka mahu pekerjaan, peluang ekonomi, pendidikan yang baik dan kehidupan yang lebih terjamin.

“Jadi kita kena bercakap dalam bahasa mereka dan tunjukkan apa yang UMNO boleh lakukan,” katanya.

Mohd Asna berkata, PRU-16 perlu menjadi medan untuk UMNO membuktikan bahawa parti itu masih mempunyai kekuatan untuk menawarkan kepimpinan yang diyakini rakyat.

Bagaimanapun, katanya, persiapan tidak boleh dimulakan selepas tarikh pilihan raya diumumkan kerana setiap peringkat parti memerlukan masa untuk memperkukuh jentera dan mendekati pengundi.

“Jangan tunggu pilihan raya baru hendak bergerak. Sekarang masa untuk kita bekerja. Kalau kita mahu Gelombang Biru kembali, kita mesti bina kekuatan itu dari sekarang,” ujar beliau.

Beliau berkata, PAU 2026 perlu dilihat sebagai permulaan kepada gerak kerja lebih tersusun bagi membawa mesej Presiden ke seluruh negara.

Katanya, keberanian Ahmad Zahid menyampaikan hala tuju parti perlu disambut dengan kesungguhan akar umbi untuk memastikan UMNO bukan hanya kuat di atas pentas PAU, tetapi turut dirasai rakyat di luar.

“Presiden sudah beri amanat dan hala tuju. Sekarang kerja kita pula. Kalau semua ahli pegang amanat itu, bersatu dan bekerja, saya yakin UMNO boleh kembali menjadi pilihan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here