Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Ke-7. Gambar ihsan PEMUISI. 13 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Seramai 14 peserta Kategori Terbuka terdiri daripada johan setiap negeri dan Wilayah Persekutuan akan berentap bagi merebut Piala Pusingan Seri Pemuisi Malaysia pada Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Ke-7, Selasa ini.

Program anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama strategik Universiti Malaya (UM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diadakan pukul 8 malam di Panggung Eksperimen, UM di sini.

Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, selain itu, tujuh peserta Kategori Remaja Pelbagai Kaum akan bersaing merebut Piala Pusingan Presiden PEMUISI.

“Tahun ini menyaksikan pengenalan Kategori Remaja Pelbagai Kaum, di samping Kategori Terbuka yang sedia ada,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim. Gambar ihsan PEMUISI.

Beliau yang turut dikenali sebagai Wanrazuhar berkata, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Profesor Emeritus, Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang juga Ahli Dewan Negara dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Radzuan turut berkata, kategori baharu itu bukan sekadar untuk melahirkan juara, tetapi membawa cita-cita lebih besar iaitu menyemai kecintaan generasi muda pelbagai kaum terhadap puisi serta memperluas penggunaan, penghayatan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, puisi mampu merentasi batas kaum, budaya, agama dan latar kehidupan kerana puisi mengajak manusia menyelami rasa, memahami makna dan berdiri bersama dalam ruang kemanusiaan yang dikongsi.

Menurut beliau, SDPAHM turut menampilkan pendekatan inovatif dengan menggabungkan elemen teaterikal, muzikalisasi, visual, prop, persembahan muzik secara langsung serta teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), sekali gus menjadikan puisi lebih hidup, dinamik dan dekat dengan khalayak.

Ujarnya, SDPAHM yang mula dianjurkan sejak 2020 terus dilaksanakan oleh PEMUISI setiap tahun sebagai wadah memperkasa seni deklamasi puisi tanah air, selain menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap Malaysia melalui bahasa dan karya sastera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here