MELAKA – Kerajaan Melaka memberi jaminan tidak akan membiarkan pelajar negeri berkenaan bersendirian dalam menggapai kecemerlangan pendidikan.
Tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius kepada pelajar terutama yang gigih mahu mengubah masa depan.
“Kerajaan negeri tidak akan berhenti memberi ruang dan pengiktirafan kepada mereka yang berusaha.
“Ada usaha, kita beri pengiktirafan, ada potensi, kita buka peluang dan apabila ada anak-anak yang mahu mengubah nasib, kerajaan negeri tidak akan membiarkan mereka berjalan sendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika berucap pada majlis Anugerah Tunas Inspirasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Kompleks Falak Al-khawarizmi sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.

Seramai 89 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerina anugerah pada majlis itu.
Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri menyedari generasi muda bakal berdepan dengan pasaran kerjaya yang amat mencabar pada masa depan.
Justeru, tegasnya, pendidikan adalah ‘senjata’ utama kepada golongan berkenaan untuk berdepan sebarang cabaran mendatang.
“Kita mahu anak-anak Melaka bukan sahaja pintar di dalam bilik darjah tetapi bijaksana membuat keputusan, teguh pendirian dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat khususnya ketika dunia berdepan ledakan digital, kecerdasan buatan (AI) dan evolusi pasaran kerjaya,” katanya.
Sehubungan itu, ujarnya, dalam mengejar kemajuan pembangunan, pendidikan tetap menjadi keutamaan bagi melahirkan generasi muda yang teguh jati diri.

Katanya, pendidikan juga adalah kunci paling ampuh untuk memecahkan belenggu kemiskinan dan kehidupan.
“Pendidikan bukan sekadar mengejar deretan A dalam peperiksaan sebaliknya pendidikan mesti membentuk akal yang tajam, jiwa yang kukuh, akhlak yang luhur dan keberanian menghadapi dunia yang semakin mencabar,” tambahnya. – MalaysiaGazzette
















