KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengingatkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya tidak memilih-milih apabila bercakap mengenai soal integriti, termasuk dalam menilai kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azman Azeez berkata, jika integriti mahu dijadikan ukuran terhadap seseorang pemimpin, prinsip sama perlu digunakan secara konsisten terhadap semua pihak tanpa mengira kedudukan atau parti.
“Kalau benar mahu bercakap soal integriti, jangan pilih-pilih. Sebelum sibuk mempersoalkan integriti orang lain, selesaikan dahulu persoalan yang masih menjadi perhatian rakyat, antaranya isu mafia korporat, isu perlombongan di Sabah, persoalan berkaitan KWAP, dakwaan melibatkan Yusuf Rawther dan isu Albert Tei,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Azman berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairuddin yang mengingatkan Zahid supaya menyelesaikan terlebih dahulu persoalan berkaitan integriti sebelum bercakap mengenai hasrat menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, perkara itu bukan bermaksud mana-mana pihak perlu dihukum terlebih dahulu kerana setiap dakwaan dan persoalan yang timbul perlu melalui proses sewajarnya.
Sebaliknya, beliau berkata, prinsip asasnya ialah setiap persoalan berkaitan integriti perlu dijawab secara telus supaya rakyat mendapat gambaran yang jelas dan tidak timbul persepsi wujudnya layanan berbeza.
“Bukan bermaksud kita menghukum sesiapa. Tetapi prinsipnya mudah, kalau mahu menjadi pengadil integriti, pastikan semua persoalan di sekeliling pentadbiran sendiri dijawab dengan telus dan tuntas,” ujarnya.
Azman turut mengingatkan AMK supaya tidak melupakan realiti politik ketika pembentukan kerajaan sebelum ini apabila pelbagai pihak dengan pendirian berbeza akhirnya bersedia bekerjasama demi membentuk kerajaan.
Katanya, pelbagai kompromi politik terpaksa dibuat ketika itu, termasuk membabitkan pihak yang sebelum ini sering berbeza pendirian dalam pelbagai perkara.
“Waktu dahulu mahu tubuh kerajaan, semua boleh. Pelbagai pihak diajak bersama, pelbagai kompromi dibuat, pelbagai prinsip yang dulu dikatakan tidak boleh tiba-tiba menjadi boleh.
“Tetapi apabila sudah berada dalam kerajaan, semuanya mahu dipersoalkan. Yang dahulu boleh, hari ini jadi isu. Yang dahulu diterima, hari ini mahu dihukum dengan kayu ukur berbeza,”
Sehubungan itu, Azman menegaskan isu integriti tidak seharusnya dijadikan senjata politik yang hanya digunakan untuk menyerang pihak tertentu, sedangkan persoalan sama apabila melibatkan rakan atau pihak sendiri tidak diberikan perhatian sewajarnya.
“Jangan gunakan integriti sebagai senjata politik yang hanya tajam kepada lawan tetapi tumpul kepada kawan,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO tidak takut sekiranya mana-mana pihak mahu mengemukakan persoalan berkaitan integriti kerana perkara itu sememangnya perlu dijawab oleh setiap pemimpin.
Namun, katanya, rakyat berhak melihat satu ukuran yang adil, konsisten dan terpakai kepada semua pihak tanpa mengira parti.
“Sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia, pendirian saya jelas. Kami tidak takut kepada persoalan. Kami cuma mahu satu standard yang adil, konsisten dan terpakai kepada semua.
“Kalau mahu bercakap tentang integriti, mari kita selesaikan semuanya secara terbuka.
“Jangan hanya pandai menuding jari. Pastikan cermin di hadapan kita juga bersih,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Selesaikan dulu isu integriti jika mahu jadi PM – AMK ingatkan Zahid
















