Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR — Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bukan sekadar menutup tirai persidangan parti sebaliknya menghantar isyarat paling jelas UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) tanpa Pakatan Harapan (PH).

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, parti itu sudah memasuki fasa persediaan pilihan raya, dengan hala tuju politik semakin jelas termasuk kemungkinan membentuk jajaran baharu selepas PRU-16.

Malah beliau mendakwa perkara itu merupakan aspirasi dan kemahuan akar umbi UMNO.

“Ahli-ahli UMNO sudah boleh mencongak hala tuju PRU-16, jajaran UMNO-BN bukan lagi bersama PH selepas ini. Itu sudah pasti.

“Alhamdulillah dan syukur kerana itu aspirasi dan kemahuan akar umbi UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Gulam, PAU 2026 memperlihatkan UMNO seolah-olah sudah menghantar ‘mood perang’ kepada ahli-ahlinya dan musuh politik dengan ‘gendang sudah dipalu’ dan hanya menunggu ‘semboyan’ untuk ditiup.

“Ucapan dasar serta ucapan penutup Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan parti itu sudah mula bergerak ke arah PRU-16,” katanya.

Lebih menarik, katanya, naskhah agenda Malaysia Biru dan Tekad16 yang diketengahkan pada PAU kali ini dilihat seakan-akan manuskrip awal Manifesto PRU-16 buat seluruh rakyat Malaysia.

“Ini baru betul perhimpunan sebuah parti politik yang berbicara dengan meletakkan kepentingan dan wawasan dalam agenda perjuangannya,” katanya.

Gulam berkata, pendekatan Presiden UMNO juga memperlihatkan Ahmad Zahid berhujah secara fundamental berorientasikan objektif dan berpijak kepada realiti sebenar sehingga memberikan gambaran seolah-olah UMNO kini berada dalam posisi Government In Waiting.

Malah beliau tidak menolak untuk melihat Ahmad Zahid sebagai figura Prime Minister In Waiting berdasarkan hala tuju yang dibawa dalam PAU kali ini.

Dalam pada itu, Gulam turut membangkitkan cabaran terhadap parti yang dirujuknya sebagai ‘parti Guru’ supaya membubarkan Parlimen lebih awal atau mengemukakan undi tidak percaya terhadap UMNO.

“Men­cabar parti ‘Guru’ di dalam Dewan Merdeka untuk membubarkan Parlimen awal atau undi tidak percaya kepada UMNO perlu dipandang betapa seriusnya hubungan UMNO di dalam kerajaan perpaduan.

“Itu pun kalau parti ‘Guru’ berani,” sinisnya.

Dalam masa sama, Gulam membandingkan pendekatan UMNO pada PAU 2026 dengan konvensyen parti kerajaan lain yang diadakan sebelum ini yang lebih banyak berkisar kepada serangan dan kritikan terhadap pihak lain.

“UMNO tidak seharusnya dilihat sebagai parti yang hanya bergantung kepada polemik politik sebaliknya UMNO perlu tampil dengan agenda, wawasan dan tawaran yang boleh menjadi asas perjuangan untuk rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here