JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini menitahkan agar Karnival Hari Keluarga Johor yang dijadualkan pada 16 Sept ditangguhkan ke satu tarikh yang sesuai susulan situasi jerebu yang meruncing di negeri itu.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah karnival berkenaan akan diadakan apabila tahap kebersihan udara kembali ke paras yang baik.
“Saya menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga, terutama bagi warga emas dan kanak-kanak, serta mereka yang menghidap masalah kesihatan pernafasan.
“Walaupun niat saya untuk menyediakan ruang mencipta kenangan manis sempena Hari Malaysia, namun kita tidak boleh mengambil risiko ke atas kesihatan rakyat jelata. Insya-Allah, karnival ini akan diadakan apabila tahap kebersihan udara kembali ke paras yang baik,” titah Seri Paduka Baginda.
Karnival diilhamkan Raja Permaisuri Agong dan dianjurkan oleh kerajaan negeri serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) itu menyediakan ruang untuk rakyat jelata bersuka ria bersama keluarga dan anak-anak bersempena Hari Malaysia.
Beberapa daerah di Johor hari ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, termasuk Pasir Gudang (162) dan Larkin (159) di Johor Bahru.
— BERNAMA
















