KUALA LUMPUR – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada hari ini menegaskan bahawa Surat Cara Proklamasi yang didakwa mempunyai kesan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak sepatutnya dijadikan persoalan politik atau peribadi.
Sebaliknya, ia hendaklah dilihat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS 1959) dan prinsip Raja Berperlembagaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, perkara utama dalam isu ini ialah kesahan dan kesan undang-undang Proklamasi tersebut.
Sehubungan itu katanya, isu yang wajar ditentukan adalah sumber kuasa Perlembagaan bagi Proklamasi tersebut; syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh UUTKNS 1959; dan adakah kesemua syarat serta prosedur tersebut telah dipatuhi sehingga Proklamasi tersebut mempunyai kesan undang-undang seperti yang didakwa.
“Persoalan sebesar ini hendaklah diselesaikan melalui proses Perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang.
“YAB Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Apa yang perlu dipertahankan ialah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan.
“Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses Perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan yang juga dikeluarkan bagi pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan itu turut menegaskan, Menteri Besar Negeri sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Jelasnya, kedudukan dan proses yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Selain itu katanya, sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa Perlembagaan.
“Persoalan yang perlu ditentukan ialah apakah sumber kuasa bagi Proklamasi tersebut, apakah syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh, dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi,” katanya lagi.
Tambah beliau, dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, peruntukan Perlembagaan menetapkan kerangka khusus berhubung tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk keperluan yang berkaitan dengan proses dan Proklamasi.
Selain itu, Ismail menjelaskan, penglibatan Menteri Besar dalam proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh tidak bermaksud Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Sebaliknya, apabila Perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, peranan tersebut hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959.
“KEEMPAT, isu ini bukan mengenai siapa mempunyai kuasa politik yang lebih besar. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya lagi.
Tambah beliau, Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh. – MalaysiaGazette
















