Anthony Loke Siew Fook bersama pemimpin DAP pusat dan Melaka meraikan sambutan ulangtahun ke 60 parti itu di Cheng, Melaka malam tadi

MELAKA – DAP Melaka mengesahkan mahu bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, ia termasuk empat kerusi yang kini disandang parti itu iaitu Bandar Hilir, Kesidang, Kota Laksamana dan Ayer Keroh.

Empat lagi kerusi yang mahu ditandingi DAP ialah Duyong, Bemban, Pengkalan Batu dan Gadek.

“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada Pakatan Harapan (PH) negeri dan pusat berhubung hasrat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena ulang tahun DAP ke-60 di Cheng, di sini malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching.

Menurut Poay Tiong, DAP Melaka bakal menampilkan gabungan muka baharu dan lama pada PRN kali ini.

Khoo Poay Tiong

“Ada muka baharu dan ada yang akan bertanding semula. Nanti kita akan umumkan,” katanya.

Beliau berkata, senarai calon telah dikemukakan kepada kepimpinan DAP pusat sebelum keputusan mengenai calon akhir dibuat.

Poay Tiong juga tidak menolak kemungkinan DAP meletakkan calon Melayu di salah satu daripada lapan kerusi yang mahu ditandingi.

“Kita semua ada sebab kita satu Malaysia, semua ada lah,” katanya.

Pada masa ini, DAP mempunyai empat wakil rakyat di DUN Melaka iaitu Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here