ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Buriram United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Menurutnya, daripada segi permainan, JDT berjaya mengawal rentak perlawanan selain mencipta beberapa peluang penting, namun kegagalan memanfaatkan peluang pada sepertiga akhir padang menjadi perbezaan utama yang menghalang pasukannya meraih kemenangan.
Beliau berkata, para pemain sudah memberikan komitmen maksimum dan menunjukkan karakter positif ketika berdepan dengan salah sebuah pasukan terbaik Asia Tenggara itu.
“Saya tidak bangga dengan keputusan, tetapi saya bangga dengan pemain kerana mereka memberikan 100 peratus kemampuan yang ada dalam diri mereka.
“Kami menikmati permainan, mengawal perlawanan, mencipta peluang penting dan berjaya menjaringkan gol walaupun akhirnya dibatalkan. Daripada sudut positif, terdapat banyak perkara baik yang boleh diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
JDT memulakan perlawanan dengan aksi agresif apabila menguasai bola serta menggerakkan serangan dari pelbagai sudut bagi mencari ruang menembusi pertahanan Buriram United.
Namun, Xisco mengakui pasukannya perlu memperbaiki ketajaman penyudah kerana dalam saingan peringkat tertinggi seperti ACLE, peluang yang terhidang perlu diselesaikan dengan lebih berkesan.

Katanya, pasukan lawan tidak akan memberikan banyak peluang kedua, sekali gus menuntut JDT lebih klinikal apabila berada di kawasan serangan.
“Kami perlu belajar daripada beberapa situasi dalam perlawanan ini dan memperbaiki butiran kecil kerana dalam Liga Juara-Juara, pasukan tidak memberikan peluang kedua.
“Apabila kita mendapat peluang penting, kita perlu membunuh permainan,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi aksi seterusnya, Xisco berkata, JDT akan melakukan analisis menyeluruh terhadap perlawanan berkenaan bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.
Beliau mengakui berdepan pasukan seperti Buriram United bukan sesuatu yang mudah kerana kelab Thailand itu mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi Asia, termasuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia sebelum ini.
Bagaimanapun, Xisco percaya JDT berada di landasan tepat selepas menunjukkan persembahan yang meyakinkan daripada segi kawalan permainan, pergerakan bola dan usaha mencipta peluang.
“Kami tahu tahap pertandingan ini sangat tinggi. Apabila berdepan pasukan terbaik, kami perlu mencari sesuatu yang lebih baik dalam aspek kecil.
“Pasukan berada dalam arah yang betul dan kini kami perlu terus memperbaiki diri untuk perlawanan seterusnya,” katanya.- MalaysiaGazette
















