TANGKAK – Semangat kerjasama antara pihak Badan Kebajikan Sekolah dan pengurusan Sekolah Agama (SA) Parit Kassan membuat persiapan hampir tiga minggu menyertai pertandingan keceriaan sempena kemerdekaan akhirnya membuahkan hasil.
Pengerusi Badan Kebajikan SA Parit Kassan, Mohamad Farhan Mohd Janis berkata, sekolah itu yang menyertai pertandingan keceriaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Tangkak bagi kategori bangunan sekolah.
Katanya, walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan itu namun kerjasama dan sokongan semua pihak menguatkan semangat mereka untuk mendapatkan idea lebih kreatif dan menarik.

“Alhamdulillah pada tahun ini sekolah kami telah dipilih sebagai johan dalam pertandingan keceriaan merdeka kategori sekolah dan institusi pendidikan peringkat daerah.
“Kemenangan ini merupakan hasil kerjasama, komitmen dan pengorbanan seluruh Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan yang komited dengan tugasan sehingga selesai,” katanya.
Dalam pertandingan kategori itu SA Parit Kassan menerima hadiah wang RM800 dan piala manakala Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir di tempat kedua (RM600) dan SK Payamas (RM500) di tempat ketiga.

Guru Besar SA Parit Kassan, Rosni Rasiman mewakili pihak sekolah menerima hadiah berkenaan pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Daerah Tangkak di Kolej Matrikulasi Tangkak, baru-baru ini.
Mohamad Farhan berkata, tujuan menyertai pertandingan itu untuk menyemarakkan semangat patriotisme, memupuk rasa cinta kepada negara dan memberi pendedahan tentang sejarah serta identiti Malaysia kepada murid-murid.
Katanya, kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk kami menghasilkan idea lebih kreatif, menarik dan bermakna dalam usaha mempertahankan kejuaraan ini pada tahun hadapan.- MalaysiaGazette
















