Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands, malam tadi. Foto JBPM Perak

IPOH – Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands, di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.36 malam.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang tersepit di dalam lori membawa muatan habuk kayu.

“Dua lagi mangsa lelaki yang berada di dalam lori membawa muatan sayur masing-masing berusia 35 dan 40 tahun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota melaksanakan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan.

“Dua mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak di permukaan jalan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.15 pagi Rabu selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here