Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemubual dalam Podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau pernah dipukul sehingga hampir pengsan ketika berada dalam tahanan pada 1998 namun pengalaman pahit itu tidak mematahkan pendiriannya untuk meneruskan perjuangan reformasi.

Menceritakan kembali episod hitam tersebut dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia hari ini, Anwar berkata, beliau dibawa masuk ke lokap dalam keadaan digari dan ditutup mata sebelum dipukul sehingga mengalami kecederaan.

“Saya dipukul setengah mati hari pertama di penjara,” katanya ketika mengimbas kembali pengalamannya dalam temubual di Facebook rasminya, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemubual dalam Podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya, hari ini.

Menurut Anwar, beliau masih mengingati bagaimana dirinya berada dalam keadaan terlentang di atas lantai lokap selepas dipukul dan tidak sedarkan diri sehingga keesokan pagi.

“Saya mahu padamkan dan lupakan tetapi kenyataan begitu masuk ke dalam lokap, digari, ditutup mata, dibelasah sehingga mati, saya pengsan sehingga pagi.

“Tetapi saya terima ini kenyataan untuk bertindak, bawa perubahan, bersihkan negara. Itu kita bayar dengan harga yang amat tinggi,” katanya.

Anwar berkata, ketika itu beliau sedar perjuangan reformasi bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan usaha membela nasib rakyat miskin, menentang rasuah, penindasan serta usaha memperbodohkan rakyat.

“Saya terangkan saya lawan dalam reformasi itu membela nasib rakyat yang miskin, menghentikan amalan rasuah, penindasan, memperbodohkan rakyat. Rakyat harus bangkit menentang kezaliman ini,” katanya.

Beliau berkata, tekanan terhadapnya ketika itu semakin hebat selepas beberapa siri himpunan dan ceramah mendapat sambutan besar termasuk kehadiran puluhan ribu orang.

Perkembangan itu menyebabkan gerakan reformasi dilihat sebagai satu ancaman oleh pihak berkuasa pada ketika itu.

“Saya masa itu menduga, menjangka memang akan ditangkap. Malah ada satu video yang keluar daripada majalah antarabangsa yang saya beri pesanan kepada anak-anak.

“Tetapi saya sendiri tidak terduga kemungkinan dipukul setengah mati,” katanya.

Anwar berkata, tempoh awal dalam tahanan juga antara pengalaman paling sukar kerana beliau ditempatkan dalam lokap tanpa akses kepada keluarga atau maklumat dari luar.

“Dua bulan pertama itu di lokap polis, special branch (cawangan khas) masa itu, tidak ada pendedahan sama sekali kepada keluarga, kepada maklumat, kepada suara lain. Lampu spotlight itu dipasang 24 jam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengalaman itu tidak mengubah pendiriannya kerana jika beliau berundur, perjuangan generasi muda ketika itu akan kehilangan arah.

“Kalau saya mengalah, maka seluruh generasi itu akan terbelakang.

“Kalau saya mula nyatakan Allah, kita mundur, mengapa harus kita mundur terhadap rasuah? Mengapa harus kita mundur terhadap kezaliman? Mengapa kita mundur terhadap usaha memperbodohkan rakyat?” soalnya.

Anwar berkata, pengalaman berkenaan akhirnya menjadi antara sebab beliau memilih untuk terus kembali ke Malaysia selepas beberapa tahun berada di luar negara,walaupun mempunyai peluang untuk meneruskan kehidupan yang lebih selesa.

“Saya fikir, itu mana sabar. Saya kata saya harus pulang dan hadapi. Langgar terus, jalan terus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kena lokap sebab apa? sebab meliwat kaaa? Tak kan lah Hakim dari mahkamah tinggi sampai mahkamah Persekutuan ada konspirasi…poodah

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here