Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian serius terhadap keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini den memberi jaminan kerajaan akan meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan beban isi rumah terlibat.

Perdana Menteri berkata, beliau mendengar keluhan yang disuarakan rakyat dan isu berkenaan perlu diberi perhatian serta ditangani segera.

“Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Mesyuarat itu akan meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan pendekatan penyasaran subsidi bagi melindungi majoriti rakyat.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.

Bagaimanapun, keadaan jerebu serta cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini menyebabkan penggunaan elektrik sebahagian isi rumah meningkat.

Keadaan itu menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi dibuat secara adil dan munasabah dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here