GEORGE TOWN – Perbezaan kaum, agama, budaya dan bahasa tidak seharusnya menjadi tembok yang memisahkan rakyat, sebaliknya kepelbagaian itu menjadi kekuatan dalam membentuk Pulau Pinang yang dinamik, progresif, berdaya saing dan harmoni.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kepelbagaian pandangan dan pendirian dalam kalangan rakyat juga merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang perlu diraikan dengan kematangan.
“Begitu juga dalam demokrasi, kita mungkin berbeza pandangan dan pendirian tetapi perbezaan itu harus diraikan dengan kematangan, berpandukan fakta, hujah dan rasa hormat.
“Rakyat perlu memperkukuh kepercayaan antara satu sama lain, menolak kebencian serta prasangka dan terus membina Malaysia yang bersatu, progresif, inklusif serta harmoni.
“Dari Pulau Pinang, kita akan terus menyumbang kepada kemajuan negara dengan memastikan ekonomi berkembang, peluang dibuka seluas-luasnya, pendidikan diperkasa, alam sekitar dipelihara dan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat, bukan sahaja hari ini, tetapi juga oleh generasi yang akan datang,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Mengulas perkembangan negeri, Kon Yeow berkata pelaksanaan Visi Penang2030 sepanjang lapan tahun lalu telah membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat menerusi pelbagai inisiatif strategik.
Katanya, pendapatan isi rumah Pulau Pinang meningkat daripada RM5,409 kepada RM7,386 dalam tempoh berkenaan.
“Dalam tempoh sama, kita terus memperkukuh aspek kebajikan, pendidikan, pendigitalan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi dengan memastikan tiada yang dipinggirkan.
“Dalam sektor ekonomi, Pulau Pinang merekodkan RM17.3 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan bagi separuh pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM12.8 bilion atau 74 peratus merupakan pelaburan langsung asing (FDI), manakala 177 projek yang diluluskan dijangka mewujudkan 19,337 peluang pekerjaan.
“Lebih penting, sekitar 69 peratus daripada pelaburan itu datang daripada pengembangan syarikat sedia ada, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem industri, bakat, infrastruktur dan rantaian bekalan Pulau Pinang,” katanya.
Dalam sektor pelancongan pula, beliau berkata pergerakan penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) meningkat 11 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini kepada lebih 2.64 juta berbanding 2.38 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pertumbuhan itu turut disokong pembangunan infrastruktur strategik termasuk transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara, Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua, Penang International Logistics Aeropark (PILA), pembesaran PIA dan pembangunan Pulau Silikon.
Jelas beliau, dalam bidang pendidikan pula, Pulau Pinang menjadi negeri pertama melengkapkan semua sekolah kebangsaan dengan papan pintar interaktif, di samping memperluas MakerLab bagi menyokong pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).
“Kelestarian alam sekitar kekal menjadi keutamaan apabila Pulau Pinang terus mencatat kadar kitar semula tertinggi dalam negara.
“Selain itu, kerajaan negeri juga terus memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan menerusi inisiatif kebajikan seperti Mutiara Food Bank dan Pusat Transit Harapan.
“Selaras dengan Visi Penang2030, kita mahu pertumbuhan diterjemahkan kepada kualiti hidup lebih baik, peluang ekonomi lebih luas dan pembangunan yang inklusif untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette
















