KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjemput Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing melakukan lawatan rasmi ke Malaysia bagi membincangkan secara langsung penyelesaian isu pelarian dari negara itu.
Anwar berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jemaah Menteri kira-kira dua minggu lalu.
“Saya akan undang Presiden Myanmar melawat Malaysia secara rasmi,” katanya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya hari ini.
Menurut Anwar, jemputan itu bertujuan membuka ruang hubungan diplomatik dan rundingan lebih luas supaya kerajaan Myanmar bersedia menerima semula rakyatnya yang berada di Malaysia.
“Kita boleh bersahabat, kita boleh berdagang, kita boleh terima Myanmar. Tapi Myanmar mesti terima,” katanya.
Beliau berkata, jika Myanmar tidak mampu menerima 200,000 orang secara serentak, proses itu boleh dilakukan secara berperingkat.
“Kalau tak boleh 200,000 sekaligus, ambil berperingkat dan kita akan bantu selesaikan,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia perlu mencari penyelesaian kerana mereka yang berada di negara ini berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan, manakala masyarakat tempatan pula berdepan pelbagai masalah yang menimbulkan keresahan.
“Pendekatan diplomasi perlu digunakan kerana kecaman semata-mata tidak akan menyelesaikan persoalan penghantaran pulang,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia kini sudah memperoleh persetujuan Myanmar untuk menerima 5,000 orang sebagai langkah awal.
“Dia baru terima 5,000 orang,” katanya.
Anwar berkata, langkah itu turut membolehkan Malaysia mengurangkan beban keselamatan dan ekonomi yang timbul daripada penempatan mereka di depot.
“Ini cara saya penyelesaiannya,” katanya.
Beliau menegaskan, dalam proses penghantaran pulang, Malaysia juga perlu memastikan keselamatan mereka yang dihantar kembali.
“Boleh tak kita jamin keselamatan dia? Boleh tak kawasan itu kawasan selamat?” soalnya.
Malaysia sebelum ini mengumumkan fasa pertama penghantaran pulang melibatkan kira-kira 1,500 individu pada September dalam proses yang dinyatakan kerajaan sebagai penghantaran secara sukarela. – MalaysiaGazette
















