MELAKA – Lebih 70,000 penduduk sekitar Masjid Tanah lega apabila pembinaan Bulatan Sungai Baru Ulu di Kampung Solok Duku, persimpangan Padang Kemunting di sini, mampu menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemudahan penyuraian trafik bernilai lebih RM685,000 yang disiapkan dalam tempoh tiga bulan itu mampu menjimatkan masa perjalanan berbanding penggunaan lampu isyarat di persimpangan itu sebelum ini.
Menurutnya, pembinaan bulatan itu memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya terutama pada waktu puncak pagi dan petang.
“Dulu orang terpaksa menunggu lebih 20 minit setiap satu pusingan lampu isyarat ini.
“Dengan terbina bulatan Solok Duku ini yang dipanggil Bulatan Sungai Baru Ulu ini, memberikan faedah kepada lebih 70,000 penduduk dalam Masjid Tanah yang menggunakan jalan ini untuk ke Bandaraya Melaka dan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Persimpangan Tiga Kepada Bulatan di Jalan Padang Kamunting sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Menurut Ab Rauf, kemudahan itu amat memberi manfaat kepada penduduk terutama yang berulang-alik dari Masjid Tanah ke Bandaraya Melaka bagi tujuan bekerja.
“Saya lihat kemudahan penyuraian trafik ini yang terbaik dalam Masjid Tanah,” katanya.
Beliau memuji usaha pantas yang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang merancang dan melaksanakan pembinaan bulatan berkenaan mengikut jadual ditetapkan. – MalaysiaGazette
















