GEORGE TOWN – Jerebu yang melanda Pulau Pinang bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah turut memberi kesan kepada aktiviti nelayan apabila jarak penglihatan di laut menjadi terhad.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian nelayan memilih untuk tidak turun ke laut kerana bimbang terhadap keselamatan dan kesihatan, sekali gus menjejaskan pendapatan harian mereka.
Tekong bot, Muhammad Farhan Hakim, 31, berkata, keadaan jerebu sejak dua hingga tiga hari lalu semakin teruk sehingga pandangan dari Jeti Nelayan Batu Uban ke arah Pulau Jerejak menjadi kabur.
Katanya, walaupun keadaan itu menyukarkan perjalanan, dia masih membawa pemancing ke Pulau Jerejak seperti biasa, namun terpaksa memperlahankan bot berbanding hari biasa.

“Sejak dua hingga tiga hari ini memang jerebu teruk. Dari jeti nelayan Batu Uban, Pulau Jerejak pun tidak nampak.
“Pandangan terhad dan kita bimbang berlaku pertembungan dengan bot nelayan lain, jadi buat masa ini saya masih hantar orang memancing ke Pulau Jerejak tetapi bawa bot perlahan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, nelayan ketam di Batu Uban, Abdul Razak Abdullah, 69, berkata, keadaan jerebu kali ini adalah yang paling teruk dialaminya sepanjang tahun ini.
Menurutnya, jerebu kali ini menyebabkan jarak penglihatan di laut menjadi terhad sehingga menyukarkannya mengesan lokasi bubu ketam yang dipasang.

“Kali terakhir saya turun ke laut pada Sabtu lalu. Sudah empat hari saya tidak keluar kerana keadaan cuaca jerebu tidak mengizinkan.
“Semalam paling teruk sehinggakan Pulau Jerejak hilang daripada pandangan.
“Memandangkan tiada pendapatan susulan jerebu ini saya gunakan masa yang ada untuk membaiki bubu dan pukat,” katanya.
Bagi Amran Alias, 40, keadaan jerebu bukan sahaja menyukarkan aktiviti menangkap ikan, malah pendedahan terlalu lama kepada udara berjerebu turut menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan.
Katanya, jerebu turut memberi kesan kepada hasil tangkapan apabila dia terpaksa mengurangkan tempoh berada di laut.
“Kalau turun sekejap, memang hasil pun kurang. Biasanya kami akan berada di laut lebih lama, tetapi dalam keadaan sekarang kena fikir juga soal keselamatan dan kesihatan.

“Pakai pelitup muka lama-lama pun tidak selesa,” katanya.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan empat stesen pemantauan kualiti udara di negeri ini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sehingga jam 11 pagi hari ini.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, berdasarkan pemantauan melalui sistem Air Pollutant Index Management System (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen Minden merekodkan bacaan IPU 167, Balik Pulau (164), Seberang Jaya (162) dan Seberang Perai (160).
“Stesen Minden dan Balik Pulau menunjukkan trend bacaan IPU tidak sihat dalam tempoh 24 jam, manakala Stesen Seberang Jaya dan Seberang Perai menunjukkan peningkatan bacaan daripada sederhana kepada tahap tidak sihat.
“Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan kualiti udara secara berterusan dan berhubung dengan JAS bagi mendapatkan maklumat serta penilaian terkini mengenai keadaan semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















