Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin

KUALA LUMPUR –  Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyambut baik tindakan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi perhatian terhadap keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, tindakan Perdana Menteri mengarahkan langkah mitigasi diteliti bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah terjejas adalah langkah yang wajar.

“AMK Malaysia menyambut baik tindakan segera YAB Perdana Menteri yang mendengar keresahan rakyat. Tindakan tuntas dengan mengarahkan agar langkah mitigasi diteliti bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik.

“Dalam masa yang sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu memainkan peranan penting dengan mengambil serius keresahan rakyat serta bersikap terbuka dan tidak berada dalam sindrom penafian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Danish berkata, sebarang kenyataan yang dikeluarkan TNB berhubung isu itu hendaklah dibuat secara berhemah dan berempati supaya tidak menambahkan kemarahan serta kegusaran rakyat.

Katanya, suara rakyat perlu diberi perhatian dan tindakan susulan mesti dilaksanakan bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan sewajarnya.

“Suara rakyat mesti didengar dan tindakan mesti menyusul. Kita berharap mesyuarat khas esok menghasilkan penyelesaian yang nyata serta dapat meringankan beban isi rumah yang terkesan,” katanya.

Anwar dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), TNB dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti langkah mitigasi segera.

Menurut Perdana Menteri, keadaan jerebu serta cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah sehingga penggunaan bulanan mereka melepasi 600 kilowatt-jam (kWj) dan tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Anwar turut menegaskan sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kWj sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bil elektrik naik: Anwar dengar keluhan rakyat, langkah segera diteliti esok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here