KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan isu kemasukan pelarian Myanmar termasuk etnik Rohingya ke Malaysia dengan tindakan kerajaan terdahulu termasuk ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan penglibatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut Anwar, ketika itu terdapat perhimpunan besar-besaran bagi mengalu-alukan serta menyokong kehadiran masyarakat Rohingya di Malaysia.
Beliau berkata, keadaan itu kini menimbulkan kesan yang perlu ditangani kerajaan, termasuk isu keselamatan, ekonomi dan keresahan dalam kalangan rakyat tempatan.
“Dulu waktu mereka masuk ke Malaysia, pintu dibuka. Disambut, ada perhimpunan besar,” katanya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya, hari ini.
Anwar berkata, perhimpunan berkenaan turut disertai tokoh kerajaan pada ketika itu termasuk Najib dan Abdul Hadi.
“Perhimpunan besar yang dengar ucapan daripada tokoh-tokoh kerajaan masa itu dengan Pas,” katanya.
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila jumlah pelarian Myanmar termasuk etnik Rohingya di Malaysia meningkat sehingga isu berkenaan kini dikaitkan dengan pelbagai masalah yang dirasai masyarakat tempatan.
Anwar berkata, antara perkara yang menimbulkan keresahan ialah dakwaan pelanggaran peraturan, perhimpunan tanpa kebenaran serta penglibatan dalam perniagaan yang sah diusahakan masyarakat tempatan.
“Sekarang ternyata ia jadi beban. Langgar kampung, langgar peraturan, buat perhimpunan haram, mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia, kemudian kadang-kadang mengambil alih perniagaan yang sah oleh masyarakat tempatan.
“Ini menimbulkan kemarahan, keresahan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, isu berkenaan tidak boleh diselesaikan hanya dengan menangkap atau mengusir mereka kerana kerajaan Myanmar sebelum ini tidak bersedia menerima semula masyarakat Rohingya yang dihantar keluar dari Malaysia.
“Kalau kita nak hantar balik, pemerintah (Myanmar) tak mahu terima. Dia tak mahu terima ini sebagai rakyat Myanmar,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan Malaysia mempunyai hak untuk menentukan siapa yang boleh berada di negara ini dan masyarakat Rohingya yang berada di Malaysia perlu mematuhi undang-undang.
“Ini bukan negeri kamu. Ini negeri Malaysia. Biar orang Malaysia tentukan,” katanya.
Perdana Menteri turut menolak kritikan bahawa kerajaan hari ini menjadi punca kepada kehadiran masyarakat Rohingya yang semakin besar di Malaysia.
Sebaliknya, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan semasa dipersalahkan terhadap masalah yang mempunyai kaitan dengan keputusan serta tindakan kerajaan terdahulu.
“Orang lain yang bawa masuk, orang lain yang kena,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan tidak boleh sekadar menyalahkan pihak terdahulu tanpa mencari penyelesaian.
“Penyelesaian cara ialah pertama, runding dengan pemerintah Myanmar untuk dapatkan kebenaran mereka dibawa pulang,” katanya.
Dalam podcast sama, Anwar menegaskan kerajaan perlu mencari jalan keluar yang praktikal dan bukan sekadar mengeluarkan kenyataan atau menyalahkan mana-mana pihak.
“Kalau kita laung-laung, jerit-jerit, tak ada insentif, tak jadi apa juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















