Wee Ka Siong beramah mesra dengan perwakilan MCA ketika hadir dalam Konvensyen MCA Negeri Johor di Dewan Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Ann Khor, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – MCA perlu bekerja keras tawan hati pengundi dengan meneruskan lebih banyak program terutama di kawasan berpotensi untuk menang atau kalah dengan perbezaan undi yang kecil dalam pilihan raya sebelum ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pendekatan tersebut juga perlu dilakukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan di negeri lain.

Ka Siong yang juga Pengerusi MCA Johor berkata, parti tersebut wajar mengenal pasti kekuatan dan kawasan berpotensi menang berdasarkan analisis yang tepat.

“Kalau belum buat sekarang pun, cari tempat mana kita nak buat. Kita kena buat persediaan lebih awal.

“Bukan buat persediaan esok nak lawan. Baru hari ini kita siap. Tak boleh begitu,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen MCA Negeri Johor di Dewan Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Ann Khor di Yong Peng, di sini hari ini.

Katanya, Johor mempunyai pengalaman tersendiri apabila MCA yang tidak menang sebarang kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) pada 2018 berjaya memperoleh empat kerusi dalam PRU pada 2022, sebelum menang lapan kerusi pada PRN Johor yang lalu.

“Begitu juga pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, selepas 17 tahun tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri, MCA memenangi dua kerusi DUN.

“Ini satu kejayaan. Tetapi jangan kita terbawa-bawa dengan kejayaan ini sebab kita masih ada misi yang perlu diusahakan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam.

Mengenai cadangan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU-16 diadakan lebih awal, beliau berkata, MCA sudah bersedia pada bila-bila masa.

Menurutnya, berdasarkan rekod PRU sebelum ini, tempoh pentadbiran tidak semestinya menunggu sehingga genap penggal selama lima tahun.

Justeru katanya, MCA perlu memastikan persiapan jentera dan strategi pilihan raya dilakukan lebih awal termasuk mengambil kira keadaan politik yang berbeza di setiap negeri.

Tambahnya, pendekatan MCA tidak boleh diseragamkan di semua negeri kerana Johor, Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai ciri politik serta kekuatan parti yang berbeza.

“Setiap negeri mempunyai strategi masing-masing. Johor berbeza dengan Negeri Sembilan. Jadi kita kena buat kerja lebih kuat di setiap negeri dengan acuan masing-masing.

“Kita kena tengok mana kekuatan kita, kawasan mana yang kita boleh menang dan kita kena buat analisis dengan tepat,” katanya.

Ketika ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Jumaat lalu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengulangi gesaan supaya PRU-16 disegerakan sebelum tempoh penggal tamat tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa PRU-16 merupakan detik penentuan bagi mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here