KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu menjelaskan percanggahan antara dakwaannya dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi penurunan takhta dengan tindakan beliau kemudian mempengerusikan mesyuarat Exco yang menerima kesan daripada dokumen sama.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengenai proses yang membawa kepada pengesahan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurutnya, pada 9 September lalu, Ismail sendiri mendakwa tidak menandatangani surat cara berkenaan secara rela dan membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud unsur paksaan.
Namun, katanya, hari ini (16 September) Exco yang dipengerusikan Ismail membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta itu adalah sah.
“Pada 9 September lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan sendiri mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa rela hati dan secara paksaan atau di bawah tekanan.
“Beliau membuat laporan polis dan kerajaan negeri ketika itu turut menyatakan dokumen tersebut tidak sah, tidak berperlembagaan serta tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, hanya beberapa hari selepas itu, kedudukan tersebut berubah apabila Exco yang sama dan dipengerusikan Ismail memutuskan proklamasi berkenaan sah, dengan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos dikatakan melengkapkan proklamasi mengikut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Maknanya, berlaku percanggahan serius yang menuntut penjelasan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak seharusnya diselesaikan hanya melalui keputusan politik kerana ia membabitkan persoalan mengenai proses perlembagaan serta kedudukan institusi diraja.
Sehubungan itu, Saifuddin menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan paksaan yang dibuat Menteri Besar, termasuk mendapatkan keterangan daripada beliau dan anggota Exco yang terlibat dalam keputusan berkenaan.
“PDRM mesti menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan paksaan tersebut, termasuk mendapatkan keterangan daripada Menteri Besar dan kesemua anggota EXCO yang terlibat dalam keputusan berkenaan, bagi menentukan apa sebenarnya berlaku dan sama ada terdapat sebarang unsur paksaan atau pengaruh tidak wajar.
“Polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tersebut dan siasatan itu mesti dilaksanakan secara bebas, telus serta tanpa pilih kasih,” tegasnya.
Saifuddin pada masa sama mengingatkan bahawa institusi Raja Melayu tidak sepatutnya dijadikan alat politik dan pemimpin parti yang berada dalam kerajaan negeri perlu menunjukkan pendirian yang konsisten dalam mempertahankan Perlembagaan.
“Institusi Raja Raja Melayu bukan alat politik dan tidak boleh diperlakukan mengikut kesesuaian keadaan.
“Kesetiaan kepada Raja dan Negara tidak memadai dengan hanya slogan di pentas politik. Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten, penghormatan kepada Perlembagaan dan keberanian mempertahankan keluhuran institusi diraja,” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan implikasi terhadap kewibawaan Menteri Besar sekiranya dakwaan paksaan itu benar, tetapi beliau kemudiannya mempengerusikan mesyuarat yang menerima kesan daripada dokumen berkenaan tanpa penjelasan lanjut.
“Seorang Menteri Besar tidak boleh mendakwa dirinya dipaksa, membuat laporan polis namun kemudian beberapa hari selepas itu mempengerusikan mesyuarat yang menerima kesan daripada dokumen yang sama tanpa penjelasan yang tuntas.
“Jika percanggahan ini benar dan tidak dapat dijelaskan dengan meyakinkan, maka persoalan mengenai kewibawaan beliau untuk terus menerajui kerajaan negeri sememangnya akan timbul,” ujarnya.
Saifuddin berkata, perkara paling penting ketika ini ialah memastikan semua persoalan berhubung proklamasi tersebut dijelaskan berdasarkan Perlembagaan Negeri Sembilan dan bukan melalui pendirian yang berubah mengikut keadaan.
“Raja dijunjung, Perlembagaan dihormati dan setiap pemegang kuasa mesti bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















