Enam serbuan dilakukan JIM Johor yang membongkar aktiviti pelacuran yang berselindung sebalik khidmat urut

KLUANG – Wanita menawarkan khidmat bayaran tunai antara RM70 hingga RM180 bagi satu perkhidmatan urut termasuk aktiviti tidak bermoral yang berselindung di sebalik premis dan khidmat urut di sini.

Semua urusan dilakukan dengan cara mengiklankan perkhidmatan melalui aplikasi komunikasi seperti WeChat dan WhatsApp bagi mengelak dikesan.

Bagaimanapun kegiatan tersebut terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menjalankan operasi dan menyerbu enam premis melibatkan tiga kedai, satu hotel bajet dan dua rumah sekitar daerah ini pada pukul 7 hingga 11 malam kelmarin.

Antara 25 wanita dan lelaki warga asing yang ditahan dalam serbuan imigresen di Kluang kelmarin.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan beberapa premis kedai urut serta kediaman yang disalahgunakan untuk aktiviti pelacuran.

“Penggunaan premis kediaman sebagai lokasi aktiviti turut dikesan sebagai taktik untuk menyembunyikan kegiatan haram itu daripada perhatian pihak berkuasa.

“Semakan awal mendapati kesemua 25 warga asing yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 41 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan warga asing itu merangkumi tujuh wanita dan seorang lelaki warga Vietnam, enam wanita dan seorang lelaki warga Myanmar serta tiga wanita dan tiga lelaki warga Indonesia.

Katanya, turut ditahan tiga wanita warga Thailand dan seorang lelaki warga Nepal selain dua rakyat tempatan iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita yang bertindak sebagai penjaga premis.

Mohd Rusdi berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan lanjut bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Seramai 25 warga asing dan dua rakyat tempatan ditahan dalam operasi banteras pelacuran sekitar Kluang

Ujar beliau, sebanyak tiga Borang 29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Pihak berkuasa menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pelacuran serta penyalahgunaan pas lawatan sosial.

“JIM Negeri Johor memandang serius isu salah guna pas dan tidak akan berkompromi dengan pemilik premis mahupun individu yang membenarkan atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here